Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 16 hari diterbitkan

Rai kejayaan Cheah Liek Hou, filem Gold bakal ditayang semula di pawagam

Filem Gold yang mengambil inspirasi daripada kisah hidup jaguh badminton paralimpik negara Cheah Liek Hou, bakal ditayangkan semula di pawagam Golden Screen Cinemas (GSC) terpilih untuk tempoh terhad, mulai Khamis (5 Sept) ini.

Tayangan semula itu dibuat bagi meraikan kejayaan Cheah yang menyumbang pingat emas pertama Malaysia di Sukan Paralimpik Paris 2024, semalam.

Ketua Astro Shaw yang juga Penerbit Eksekutif Filem Gold Raja Jastina Raja Arshad berkata kemenangan Cheah itu merealisasikan harapan dan impian negara di persada dunia.

“Sebagai rakyat Malaysia, kami amat berbangga dengan perjalanan luar biasa beliau serta semangat yang ditunjukkan. Dedikasi beliau seharusnya menjadi inspirasi kita semua.

“Kami membawakan semula filem Gold ke pawagam terpilih untuk memberi peluang kepada lebih ramai rakyat Malaysia menghayati kisah kejayaan jaguh dunia ini. Kemenangan ini kita raikan bersama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, filem ini juga boleh dilanggan menerusi Astro saluran 480 atau On Demand dan Astro GO serta peranti pilihan melalui Sooka, masing-masing pada harga RM16.20 dan RM19.50.

Filem arahan Adrian Teh itu mengisahkan perjalanan hidup sejak kecil Cheah yang berusaha menempa nama di arena sukan negara walaupun disahkan menghidap penyakit saraf yang dikenali sebagai Erb’s Palsy.

- Bernama