Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 17 hari diterbitkan

Dharma sanggup turunkan harga Deko Ibadah RM100,000

Pelakon veteran, Dharma Harun Al Rashid, sanggup menurunkan harga program Deko Ibadah yang ingin dijual kepada pihak TV AlHijrah pada harga RM100,000.

Kata Dharma, dia terbuka hati berbuat demikian agar dapat meneruskan kelangsungan hidup anak-beranak selain meneruskan usahanya untuk memulakan penggambaran musim kedua program berkenaan.

“Saya akan jumpa stesen itu untuk bincang perkara ini, mungkin akan jual Deko Ibadah dengan harga RM100,000 saja, tak mengapa.

“Kemudian saya ingin hasilkan Deko Ibadah 2 pula. Jika untuk musim kedua TV AlHijrah tidak berminat beli, saya akan cuba jual kepada stesen lain.. Oasis misalnya,” kata Dharma.

Justeru, Dharma, 67, berkata, dia sedia mengadakan pertemuan dengan TV AlHijrah untuk berbincang secara baik bagi mencari jalan penyelesaian.

“Saya akan hubungi mereka... cuma bukan sekarang. Kena tunggu apabila kesihatan saya baik,” katanya ketika ditemui pada majlis kesyukuran filem Sheriff: Narko Integriti yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sebelum ini, Dharma dilaporkan menagih bayaran RM312,000 untuk program berunsur keagamaan itu yang pernah ditayangkan di stesen berkenaan.

Dharma mendakwa jumlah itu dipersetujui selepas kontrak ditandatangani kedua-dua pihak.

Bagaimanapun, media melaporkan Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris, berkata berdasarkan kontrak stesen televisyen berkenaan cuma bertindak sebagai penyiar.

Jelasnya, jumlah sebanyak RM312,000 yang dituntut Dharma adalah geran dana Finas yang diperoleh syarikat produksi pelakon itu untuk menyiapkan pembikinan program Deko Ibadah.

Mengulas berhubung perkara itu, Dharma berkata, TV AlHijrah diberi keutamaan untuk membeli program terbabit selepas bersetuju dengan salah satu klausa termaktub dalam kontrak berkenaan.

“Saya jadi tidak faham. Pihak TV AlHijrah yang sediakan kontrak, ditandatangani kedua-dua pihak yang bersetuju dengan klausa yang menyatakan sekiranya nak jual program itu, keutamaan harus diberi kepada stesen TV tersebut.

“Jadi saya nak cakap macam mana lagi? Tapi, apabila berjumpa dengan TV AlHijrah, mereka kata klausa itu terpakai sekiranya mereka mahu membeli program berkenaan.

“Saya hairan. Apa maksud keutamaan seperti dinyatakan dalam kontrak? Kalau saya bercadang untuk jual program itu kepada TV AlHijrah, mereka kenalah beli,” katanya.