PM New Zealand bertemu Khairul Aming, nikmati roti jala dan teh tarik
Kunjungan Perdana Menteri New Zealand Christopher Luxon, yang dalam lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia, turut diserikan dengan pertemuan dengan pempengaruh popular dan usahawan tempatan, Khairul Amin Kamarulzaman.
Luxon berada di Malaysia pada 1-3 Sept, 2024 dan ini merupakan kunjungan pertama beliau ke negara ini selepas mengambil alih pentadbiran New Zealand pada November 2023.
Menerusi perkongsian di akaun X miliknya, Khairul Amin atau lebih dikenali sebagai Khairul Aming berkata pertemuan di restoran Hidang KL di Kuala Lumpur, hari ini, juga sebagai tanda terima kasih kerajaan New Zealand susulan kehadirannya ke negara itu baru-baru ini bagi menghasilkan siri video masakan.
Lebih manis lagi, pertemuan itu dimanfaatkan oleh pempengaruh bidang masakan itu untuk memperkenalkan sajian ‘ikonik’ sarapan Malaysia seperti nasi lemak, roti jala dan teh tarik yang turut disertai dengan sesi memasak roti jala bersama pemimpin New Zealand itu.
Tidak hanya menjamu selera, beliau juga sempat bertukar pandangan dengan Luxon mengenai aspek pelancongan antara Malaysia dan New Zealand, eksport perdagangan daging halal dan hasil tenusu, pemuliharaan alam semula jadi serta potensi eksport produk-produk perusahaan kecil dan sederhana ke New Zealand.
“Siapa sangka, lapan tahun lepas, saya melakukan rakaman video memasak pertama dengan hanya duduk di atas lantai di rumah sewa...namun hari ini dapat duduk bersebelahan Perdana Menteri (dari negara) terkenal dunia.
“Berusahalah dengan gigih, anda pasti kagum sejauh mana hidup ini mampu membawa anda,” kata Khairul Aming yang mempunyai seramai 4.1 juta pengikut dan 1.5 juta pengikut, masing-masing di Instagram dan X.
Anak kelahiran Kota Bahru, Kelantan, nama Khairul Aming sudah sinonim dengan siri video masakan Ramadan beliau yang tular bertajuk ‘30 Hari 30 Resepi.’
Bukan setakat terkenal sebagai pempengaruh, lulusan kejuruteraan mekanikal Vanderbilt University, Amerika Syarikat itu juga berjaya dalam bidang perniagaan, termasuk mempunyai dua kilang di Kota Bahru bagi produk termasuk ‘Sambal Nyet.’
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai