Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 17 hari diterbitkan

Zul Ariffin: Orang ingat saya buat import eksport di Arab Saudi

Pelakon Zul Ariffin tampil menjelaskan rancangannya untuk mencari peluang perniagaan dan menetap di Kota Mekah sebelum ini yang telah disalah tafsir segelintir pihak.

Katanya, ramai beranggapan dia sedang menjalankan perniagaan import dan eksport di Arab Saudi.

“Kelakar juga apabila ada orang fikir saya buat perniagaan import dan eksport. Jangan fikir begitu sebab saya masih cari peluang perniagaan.

“Tapi saya tidak boleh cerita panjang, selagi ada peluang, kita cuba usahakan,” katanya yang bakal menunaikan umrah tidak lama lagi.

Tambah pelakon J Revolusi itu, ketika ini perkembangan karier seninya sedang berjalan lancar, justeru dia berasakan tiada keperluan untuk menetap di Mekah.

“Tawaran berlakon masih banyak walaupun di usia begini, jadi lebih baik saya berulang-alik.

“Pada masa sama, ada juga tawaran untuk bawa pelancong ke Arab Saudi,” katanya pada majlis kesyukuran filem Sheriff: Narko Integriti di Jalan Semarak, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Mengulas pencapaian filem arahan Syafiq Yusof yang meraih kutipan RM64 juta itu, Zul berkata, dia bersyukur kejayaan tersebut menyebabkan pintu rezekinya semakin luas.

Bagaimanapun menurut Zul, 37, dia perlu lebih teliti sebelum membuat pilihan terutama berkaitan kisah-kisah cinta.

“Semasa baru jadi pelakon saya tidak ada peluang untuk memilih. Tapi apabila dah lama dan banyak pengalaman, saya tahu buat pilihan tepat.

“Banyak tawaran termasuk berlakon drama tapi kalau drama cinta, saya rasa cukuplah, risau nanti orang naik menyampah.

“Tengoklah muka ini takkanlah masih nak berlakon kisah kahwin paksa.

“Tapi saya akan utamakan filem kerana penggambaran tidak sepadat drama, biarlah wajah-wajah baru ambil peluang itu,” katanya.