Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 18 hari diterbitkan

Da’i Fuad nafi 'tidur' atau pilih kasih macam didakwa Baby Shima

Pendakwah bebas, Da’i Fuad, mendakwa dia tidak pernah leka dalam bab menasihatkan seseorang berhubung perihal agama tidak kira sama ada individu terbabit dalam kalangan artis mahupun tidak.

Katanya, tiada istilah pilih kasih terutama sekiranya individu terbabit perlu diberi teguran.

“Baby Shima kata, kalau kawan terdiri daripada golongan agamawan buat salah, semua pihak akan mendiamkan diri; tapi kalau orang lain buat mereka akan serang bertubi-tubi.

“Umpama isu Da’i Syed ini sebenarnya sudah lama dan banyak sangat, kami tidak mendiamkan diri.

“Cuma saya tidak perlu kongsi semua perkara berhubung teguran yang diberi,” katanya.

Bagi membuktikan dia pernah memberi teguran, Fuad mendedahkan dua nasihat pernah diberikan kepada Syed, 29, sebelum ini dengan harapan pendakwah selebriti berkenaan memperbaiki keadaan agar tidak mendatangkan fitnah kepada Islam.

“Saya bagi dua contoh bahawa saya tidak 'tidur' dan tidak menegur berkiblatkan mana kawan dan lawan, tak ada.

“Pertama, teguran pada 2018 saya pernah minta dia tukar gaya rambut sebab tidak sesuai untuk seorang pendakwah.

“Pada 2023 saya tegur dia supaya jangan muat naik video tentang tarian. Alhamdulillah dia terima tiada lagi video dia dengan pasangannya di media sosial,” katanya.

Sebelum ini, Baby Shima mengkritik Fuad kerana didakwanya bersikap pilih kasih dalam memberi teguran terhadap agamawan serta golongan lain.

Fuad kemudian memberikan pandangan yang dianggap sesetengah pihak sebagai lunak sehingga mengundang persepsi bahawa dia tidak bertegas kerana kes berkenan melibatkan pendakwah selebriti.

Pada 30 Ogos lalu, Mahkamah Seksyen Shah Alam menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan terhadap Syed atas kesalahan merogol seorang wanita di sebuah kondominium lima tahun lalu.

Pada masa sama, Fuad berharap, pengguna media sosial tidak terus-menerus menghentam isteri Syed iaitu Hana Ismail berhubung jenayah dilakukan suaminya.

Katanya, isteri dan anak Syed tidak bersalah sama sekali dalam hal berkaitan.

“Saya konsisten berpendapat kesilapan tidak diletakkan atas isteri dan anaknya sebab yang buat perkara tidak betul dan jenayah adalah dia (Syed),” katanya.

Fuad juga berharap mangsa jenayah seksual lain tidak takut untuk bersuara dan menuntut keadilan.

“Saya seru mangsa di luar sana supaya ke hadapan untuk menyuarakan hak anda, kena ada keberanian, jangan beri ruang untuk orang kritik anda,” katanya.