Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Anju harap ditawar pekerjaan tetap lepas 'buat' hidung

Selepas mengakui menjalani prosedur pembedahan hidung demi menjana pendapatan, pelakon Zarina Anjoulie, kini memohon sekiranya ada pihak sudi menawarkan dia pekerjaan tetap.

Zarina menjelaskan, dia memohon pekerjaan secara terbuka selepas diasak soalan daripada pengguna Internet mengenai punca rezeki semasa hingga memerlukannya menjalani prosedur pembedahan kosmetik tersebut.

“Soalan serius: boleh tak sesiapa tawarkan saya pekerjaan?” soalnya.

Bagaimanapun, Zarina atau mesra disapa Anju itu berkata, dia berharap pekerjaan yang ditawarkan nanti tidak memerlukannya berada di tempat umum.

“Ada tak sesiapa yang mahu ambil saya kerja sama ada jadi pembantu peribadi atau cef peribadi?

“Kalau nak kerja di McDonald's, nanti orang tak percaya sebab mereka akan ingat saya mahu prank mereka. Nak bawa Grab, saya tak ada lesen pula,” katanya.

Menjelaskan hidupnya boring, Zarina berkata dia melakukan apa yang perlu sendiri untuk memenuhi tanggungjawab sebagai seorang ibu dan mencari sesuap nasi.

"Personal chef tu maksudnya saya boleh masakkan kamu makanan berkhasiat," katanya.

Terdahulu, tular klip video di TikTok memaparkan Zarina, 36, bersama seorang doktor ketika prosedur pembedahan berkenaan dilakukan.

Bukan untuk bermewah

Menurut pelakon drama Anak Pontianak itu, pembedahan tersebut dianggap berjaya kerana tiada benjolan lagi di tengah hidungnya sekali gus memberikan dia keyakinan untuk beraksi di depan lensa kamera.

Bagaimanapun, ramai pengikut meninggalkan komen menyatakan mereka lebih sukakan hidungnya yang dulu kerana dianggap lebih semula jadi dan cantik.

Mengulas mengenai rupa hidungnya yang baru itu, Zarina berkata, dia ambil maklum komen yang mengatakan bentuknya kelihatan pelik kerana terlalu panjang.

“Ramai orang cakap panjang sangat. Ya betul, saya juga fikir begitu. Tapi tidak apa. Saya akan betulkan lagi enam bulan kerana prosedur itu tidak boleh dilakukan sekarang.

“Di Vietnam ada rupa hidung yang disukai. Ikutkan hati nak buat di Turki, tapi saya tiada bajet, yang ini (pembedahan hidung) ditaja tapi kena muat naik video,” katanya berhubung syarat bagi memperolehi token dijanjikan daripada klinik estetik terbabit.

Zarina juga berharap, orang ramai berhenti mengecam tindakannya kerana dia berbuat demikian bagi melunaskan yuran pengajian anaknya.

“Faham-fahamlah ibu tunggal cari duit. Nak bayar yuran sekolah anak sebulan RM400, yuran mengaji dia pula RM1,000 sebulan.

"Bukan saya nak beli BMW atau handbag,” katanya.