5,000 peminat dipukau Spider, Ella dan Masdo
Gandingan julung kali kumpulan Spider, ratu rock tanah air Ella dan kumpulan muzik genre pop 60-an Kugiran Masdo di atas satu pentas memukau 5,000 peminat konsert Mahardika di Spice Arena, George Town malam tadi.
Diadakan sempena sambutan ambang merdeka, konsert yang namanya didasari daripada singkatan Malam Hari Merdeka anjuran The Dons Group itu bermula sedikit lewat, namun 'dimaafkan' penonton yang terhibur dengan persembahan pembukaan oleh pempengaruh dan juga model, Agy, menerusi lagu nyanyian asal Adele - Rolling In The Deep.
Sorakan bergema apabila Agy selaku pengacara konsert memberi laluan kepada Kugiran Masdo yang tampil menyanyikan lagu medley La Obe dan Janji Manis tepat 8.45 malam.
Kugiran yang dianggotai Ali Sariah selaku vokalis, Putu Ceri (bes) dan Asmawi (gitaris) itu terus membelai jiwa peminat menerusi lagu kegilaan anak muda Teruna & Dara, Miss Flower Learns To Twist, Bunga, Berduka Lara dan Kecundang.
Kumpulan itu turut mendendangkan lagu popular mereka, Inilah Jalan-Nya yang diiringi 'nyanyian latar' oleh peminat, diikuti lagu MPRNR dan Dinda, sebelum mengakhiri persembahan hampir sejam tanpa henti itu dengan lagu Bercanda Di Malam Indah.
Sebelum itu, Ali sempat meluahkan rasa bangga kerana dapat berkongsi pentas dengan Ella dan Spider, dua nama besar dalam industri hiburan tanah air.
Dia juga berpesan kepada peminat agar menjiwai semangat patriotik dengan menjaga perpaduan yang terjalin sejak sekian lama serta terus berdoa untuk rakyat Palestin.
Usai persembahan Kugiran Masdo, Ella mengambil tempat selaku penyanyi jemputan menerusi lagu Permata Biru, Dua Insan Bercinta dan Gemilang sebelum meninggalkan pentas.
Tiga buah lagu itu nyata tidak cukup buat peminat yang melaungkan “we want more!” sebelum Ella tiba-tiba muncul dari tepi arena dan berjalan merentasi lautan manusia ke pentas khas sambil mendendangkan lagu yang dinanti-nantikan oleh peminat - Standing In The Eyes Of The World.
Sekalipun sudah berusia melangkaui separuh abad, Ella membuktikan gelaran ratu rock itu memang layak menjadi miliknya menerusi persembahan vokal yang kekal mantap.
Tepat 10.15 malam, Spider mengambil alih pentas, menggamatkan suasana dengan sorakan peminat.
Kumpulan itu memberikan persembahan bertenaga menerusi dendangan 12 buah lagu, antaranya Laukku Cukup Masin, Bila Nak Saksi, Cinta Dewa Dewi, Kasih Latifah, Relaku Pujuk, Aladdin dan Nazraku.
Kemunculan pemenang Anugerah Juara Lagu 2004 itu di Pulau Pinang selepas tiga dekad tidak mengadakan persembahan di situ nyata mengubat rindu peminat setia mereka serta anak-anak muda yang baru menginjak usia dewasa.
Kira detik menjadi acara kemuncak pada konsert malam tadi sebelum ruang arena bergema dengan laungan “Merdeka” disusuli lagu Tanggal 31 nyanyian asal Allahyarham Sudirman Haji Arshad yang turut disertai para artis dan semua hadirin, sambil mengibarkan Jalur Gemilang menzahirkan rasa cinta kepada negara.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai