Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Bekas kekasih Tamara mengaku tenggelamkan kepala Dante 7 kali

Bekas kekasih Tamara Tyasmara, Yudha Arfandi mengaku bersalah di Mahkamah Negeri Jakarta Timur kerana menenggelamkan kepala Dante di kolam renang hingga mengakibatkan kematian kanak-kanak itu.

Hakim dan pendakwa menyoal Yudha dengan beberapa soalan berhubung kematian Dante atau nama penuhnya Raden Andante Khalif Pramudityo, 6, sewaktu berenang.

Dalam kenyataannya, Yudha mendakwa dia tidak cuba menenggelamkan Dante sebaliknya hanya mengajar teknik pernafasan dengan menyelam.

“Saya selalu begitu, saya kurang tahu. Setiap kita tarik (nafas) itu sama-sama turun, saya sudah turun, saya menghitung, 1,2,3 dan menenggelamkan lima hingga tujuh kali.

“Saya lakukan (tenggelamkan) tapi tidak sebanyak 12 kali, tidak sampai 12 kali. Melatih pernafasan agar tidak panik,” katanya dipetik media tempatan.

Menurut Yudha, hal sama diterapkan kepada anak-anaknya, namun pada masa sama mengakui dia bukanlah seorang jurulatih renang yang bertauliah.

“Saya sering mengajar anak saya sendiri berenang, bahkan di kolam yang dalam. Tapi memang, saya bukan jurulatih renang yang mempunyai sijil,” katanya.

Pada perbicaraan itu Tamara hadir bersama keluarganya, termasuk bapa kepada bekas suaminya, Agus.

Dante meninggal dunia sewaktu berenang di Taman Air Tirtamas, Pondok Kelapa, Duren Sawit, Jakarta Timur, pada 27 Jan lalu.

Dante disyaki meninggal dunia akibat dilemaskan oleh Yudha yang ketika itu menjalin hubungan romantik dengan Tamara.

Wanita terbabit melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa kerana berasa kematian anaknya adalah satu kejanggalan.

Menurut laporan polis, Yudha didakwa menenggelamkan kepala Dante sebanyak 12 kali hingga sehingga kanak-kanak itu lemas.

Yudha turut mendakwa alasan utama dia membawa Dante ke sudut kolam renang kerana bagi mengelak kawasan yang dipenuhi orang ramai.

“Saya fikir Dante baik-baik saja waktu itu,” katanya.