Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 21 hari diterbitkan

'Mata ini menangis, hati ini bersedih'

Isteri kepada pendakwah selebriti Da’i Syed, Hana Ismail, mengakui sangat bersedih dengan keputusan Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini namun dilihat seperti berdamai dengan takdir yang menimpa.

Melalui perkongsian di Insta Story sebentar tadi, Hana berkata, dia bersyukur dengan nikmat diberikan oleh Allah selama ini buat keluarga kecil mereka.

“Mata ini menangis dan hati ini bersedih namun kami hanya akan menuturkan apa yang diredhai Tuhan kami dan Muhammad SAW.

“Alhamdulillah untuk segala nikmat yang telah diberikan buat keluarga kecil kami,” katanya.

Terdahulu, Mahkamah Sesyen Shah Alam menjatuhi hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan terhadap Syed - atau nama penuhnya Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful - kerana merogol seorang wanita di sebuah kondominium, lima tahun lalu.

Hakim Norazlin Othman memutuskan demikian selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes pembelaan.

Sebaik mendengar keputusan itu, bapa anak satu itu dilihat menangis teresak-esak dalam kandang tertuduh, ditemani isteri yang baru melahirkan anak 16 hari lalu.

Syed Shah Iqmal 29, mendekam di penjara bermula hari ini apabila Norazlin menolak permohonan peguam bela tertuduh agar pelaksanaan hukuman tersebut ditangguhkan.

Tertuduh kemudian diarah menjalani hukuman di Penjara Kajang.

Hana yang juga personaliti televisyen itu memohon kebaikan daripada orang ramai untuk mendoakan mereka sekeluarga.

“Di hari Jumaat penuh barakah ini, saya dengan rendah diri ingin memohon doa dan kebaikan dari kalian,” katanya.