Mahkamah tolak tangguh hukuman penjara Da'i Syed
Pendakwah selebriti Da'i Syed terpaksa meringkuk di Penjara Kajang bermula hari ini untuk menjalani hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan yang dikenakan terhadapnya oleh mahkamah pagi tadi.
Langkah itu diambil berikutan keputusan hakim, Norazlin Othman, menolak permohonan Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful, 29, untuk menangguhkan sementara pelaksanaan hukuman berkenaan.
“Permohonan untuk menangguhkan hukuman adalah ditolak kerana tiada keadaan khas yang membuktikan rayuan ke mahkamah tinggi adalah automatik untuk menangguhkan hukuman, dan begitu juga merit dalam rayuan tersebut,” katanya.
Terdahulu, timbalan pendakwa raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin berkata dalam kes tersebut tiada keistimewaan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman dengan mengambil kira kesalahan jenayah yang telah dibuktikan.
Bagaimanapun, peguam Syed Amirul Syed Edros yang mewakili tertuduh berkata sekiranya penangguhan dibenarkan ia tidak akan memprejudiskan mana-mana pihak kerana satu ikat jamin baru akan diberikan berserta syarat yang lebih ketat untuk memastikan tertuduh tidak melarikan diri.
Terdahulu Mahkamah Sesyen Shah Alam menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan terhadap Syed Shah Iqmal selepas mendapati dia bersalah merogol wanita berusia 23 tahun (ketika itu) di dalam bilik di sebuah kondominium di I-City, Seksyen 7 di sini, kira-kira pukul 1.35 pagi pada 11 Sept 2019.
Pada 10 April tahun lalu Mahkamah Sesyen Shah Alam melepas dan membebaskan Syed Shah Iqmal daripada pertuduhan merogol selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya di akhir kes pendakwaan.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 7 Mac lepas mengetepikan keputusan mahkamah sesyen itu selepas membenarkan rayuan pendakwaan dan memerintahkan tertuduh membela diri atas pertuduhan tersebut.
Sepanjang prosiding hari ini, tertuduh yang memakai sut itu menangis dan menundukkan mukanya ketika berada di kandang tertuduh.
Selepas mahkamah mengumumkan keputusan, isteri tertuduh, Nurulhana Ismail, 38, dilihat memeluk dan menenangkan suaminya yang menangis selepas mendengar keputusan tersebut.
Ahli keluarga turut membawa bayi perempuan pasangan itu yang berusia 16 hari untuk berjumpa Syed Shah Iqmal sebelum dibawa ke Penjara Kajang.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai