Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Dharma nak menitis air mata anak cemerlang di Aswara

Seniman popular era 1980-an, Dharma Harun Al Rashid, mengakui dia berbangga dengan kejayaan anaknya, Muhammad Al Syafiq, yang meraih keputusan 4 flat dalam peperiksaan semester akhir Asasi Seni Kreatif di Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (Aswara) baru-baru ini.

Dharma berkata, pada awalnya dia tidak menjangka Muhammad Al Syafiq berkemampuan untuk memperoleh keputusan cemerlang memandangkan dia sendiri tidak berpendidikan tinggi.

“Kalau saya ceritakan memang nak menitis air mata. Saya pun tidak sangka, macam ini (bijak). Lepas ini, anak lelaki saya nak sambung ke peringkat sarjana muda pula.

“Saya biasa-biasa saja. Keputusan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) saya… tidaklah berapa pandai sangat. Tapi saya pelik dengan mereka (pandai). Mereka ini bukan di peringkat sekolah, tapi universiti,” katanya.

Menurut Dharma atau nama sebenarnya Mohamad Azman, 67, dia mula yakin dengan bakat anaknya itu selepas hadir menyaksikan sendiri kebolehannya menjayakan pementasan teater di Aswara.

“Bagi saya… anak aku, apalah sangat. Saya langsung tidak percaya.

"Tapi bila tengok sendiri persembahan (teater) yang mereka pentaskan, saya kata, betulkah ini?” katanya selepas berakhir majlis doa selamat filem Sheriff: Narko Integriti di Jalan Semarak, Kuala Lumpur semalam.

Dharma salah seorang daripada kira-kira 200 barisan pelakon dan pekerja yang menerima sumbangan daripada Skop Productions pada majlis berkenaan.

Lega bila anak berjaya

Pelakon terkenal melalui filem Adik Manja itu berkata, seorang lagi anaknya, Siti Qurratu’aini, 36, yang mendapat pendidikan di Aswara juga cemerlang dalam peperiksaan yang diduduki.

Katanya, Siti Qurratu’aini malah dianugerahkan sebagai graduan terbaik pengajian Asasi Seni Kreatif sebelum ini.

“Anak perempuan saya yang sambung belajar di Aswara ke peringkat sarjana muda juga hampir-hampir dapat keputusan 4 flat,” katanya.

Sebelum ini, anak-anak Dharma pernah dituduh enggan bekerja kerana kegagalan keluarganya menyelesaikan tunggakan sewa rumah hingga tular di media sosial.

Bagaimanapun, bercakap kepada Malaysiakini, Muhammad Al Syafiq, 35, berkata dia sebenarnya ada membuat kerja-kerja sambilan seperti berlakon dan menjadi model peragaan.

Mengulas soal itu, Dharma pula berkata, dia bertanggungjawab untuk mencari pendapatan bagi meneruskan kelangsungan hidup demi memberi ruang kepada kedua-dua anaknya itu untuk meneruskan pelajaran masing-masing.

“Memanglah saya bangga, tapi peninglah juga kerana memikirkan banyak perkara, ditambah lagi dengan keadaan kehidupan ini.

“Kalau ikutkan, saya nak anak saya buat benda ini semua (uruskan syarikat produksi), memandangkan mereka nak kena sambung belajar lagi dua tiga tahun, sayalah yang kena teruskan dulu.

“Tapi saya dah lega kerana anak-anak berjaya dalam pelajaran,” katanya.