Yusof tak serik bawa karya ke Indonesia walau Sheriff gagal
Pengasas Skop Production,Yusof Haslam, mengakui dia tidak pernah patah semangat untuk memastikan filem-filemnya menembusi pasaran negara jiran meskipun Sheriff: Narko Integriti - arahan anaknya Syafiq - menerima nasib yang kurang baik di Indonesia sebelum ini.
Yusof berkata dia yakin karya-karya terbitan syarikatnya akan mendapat sambutan sekiranya ia ditawarkan melalui strategi pemasaran yang betul.
Katanya dia memiliki tanggapan itu kerana mengambil contoh kejayaan filem Munafik - yang diarahkan seorang lagi anaknya, Syamsul - mampu mencatat kutipan memberangsangkan di sana.
“Kita kena ingat, filem Munafik berjaya kutip RM5 juta di Indonesia meskipun sekadar ditayangkan di 100 pawagam yang bertaraf MBO Cinemas.
“Sewaktu filem itu dipasarkan di sana pada 2019, kami mohon agar ia dapat ditayangkan di 400 pawagam tapi yang diluluskan hanya 100 pawagam saja.
“Saya dimaklumkan pihak pengedar yang mereka cukup yakin Munafik sebenarnya mampu kutip hingga RM20 juta jika filem itu ditayangkan di 400 pawagam di Indonesia.
"Jadi, untuk kita katakan filem kita tak dapat sambutan di sana, tidaklah begitu,” katanya.
Yusof, 70, berkata semangatnya itu tidak luntur kerana impak sama turut berlaku kepada satu filem terbitan syarikat Malaysia iaitu Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan.
“Tak jalan (tak dapat sambutan) selepas tiga hari tayangan di Indonesia.
"Justeru ia membuatkan saya tidak luntur semangat untuk terus mencuba dengan perancangan lebih teliti untuk karya-karya kami selepas ini,” katanya.
Bloger anggap bagus
Yusof berkata demikian ketika ditemui pada majlis doa selamat Sheriff: Narko Integriti di Felda D’Saji di Kuala Lumpur malam tadi.
Syafiq sebelum ini berkongsi di media sosial mengenai kegagalan filemnya mendapat sambutan di Indonesia sejak mula ditayangkan di 100 pawagam bermula 23 Mei lalu.
Katanya, banyak tayangan yang diturunkan secara drastik, namun dia juga senada dengan bapanya iaitu untuk tidak berputus asa bagi membawa karya-karyanya masuk ke Indonesia selepas ini.
Yusof yang juga pengarah yang terkenal dengan filem-filem seperti Sembilu, Maria Mariana dan drama Gerak Khas itu tidak menolak kemungkinan bahawa strategi yang lemah antara punca Sheriff: Narko Integriti gagal mencapai sasaran kutipan di Indonesia.
Dia mengakui filem misteri, aksi dan jenayah yang meraih kutipan RM67 di Malaysia itu berpotensi bersaing di pasaran negara jiran sekiranya kaedah penjualan dirancang dengan betul dan teliti.
“Saya akui, memang ada kesilapan. Kita terus tayang selepas sesi pratonton. Agak mengejut dan di situlah silapnya.
“Ramai penulis blog di Indonesia menyatakan filem itu bagus. Cuma bagi mereka, mungkin strategi (pemasaran) tidak betul.
“Di Hong Kong, kami berjaya kutip kira-kira RM500,000,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai