Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Fathia nak padam tatu dicacah ketika tertekan

Gara-gara mengalami episod tekanan perasaan, pelakon Fathia Latiff mendedahkan dia pernah mencacah tahu pada anggota badannya dua tahun lalu.

Katanya, dia memiliki satu tatu pada tangannya yang dibuat ketika dia berada di luar negara.

“Ketika itu saya terlampau tertekan. Tatu itu membawa maksud angel on earth,” katanya.

Malah menurut Fathiya, 36, ibu dan bapanya pernah ‘berceramah’ kerana tidak bersetuju dengan keputusannya mencacah tatu pada badan.

Justeru, mengakui itu adalah satu kesalahan yang tidak boleh dilakukan orang Islam, Fathiya berkata dia sudah lama merancang untuk membuang tatu tersebut.

“Sudah tentu ibu bapa saya lecture saya mengenainya (tatu). Cuma mereka tidak marah begitu teruk kerana bimbang kesihatan mental saya.

“Tapi memang saya sudah lama nak buang cuma alami kekangan masa,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang media di Kuala Lumpur semalam.

Fathia bakal tampil dalam dua drama terbitan Erma Fatima berjudul Jangan Tinggal Abang Dek! dan Cinderella Jadian.

Pelakon Nur Kasih itu pernah secara terbuka berkongsi menghidap masalah kesihatan mental iaitu skizofrenia namun keadaannya kini lebih tenang selepas dua tahun menjalani rawatan.

“Saya ada major depression. Saya jumpa doktor dua minggu sekali. Sudah dua tahun saya menjalani rawatan,” katanya.

Bagaimanapun, Fathia mengakui apa yang berlaku menjadikan hubungan dia dengan keluarganya semakin erat dan ia membantu apabila dia tinggal bersama mereka.

Mengulas karier seninya, Fathia berkata dia dalam usaha untuk kembali aktif dalam dunia seni.

Justeru, menurutnya, dia berbesar hati apabila Erma sanggup menawarkan dia kembali berlakon ketika keadaan semasa menyukarkan ramai orang mencari peluang pekerjaan.

“Saya sedih ramai pelakon senior mahupun peminat tidak berhenti menyokong saya kembali berlakon walaupun ada buat perangai.

“Saya juga terkejut mama (Erma) cakap dia ambil saya bekerja kerana percaya bakat saya.

“Wow, tersentak dengar, saya rasa saya ini pelakon biasa, biasa saja,” katanya.