Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Keith Foo suntik semangat Riena Diana beraksi di pentas teater

Pelakon Riena Diana berkata, aktor Keith Foo menjadi individu yang mendorongnya menerima tawaran menjayakan pementasan teater ketika dia tidak mempunyai keyakinan diri untuk beraksi di pentas itu buat pertama kali.

Kata Riena, pelakon yang sedang menjalin hubungan dengannya itu menyuntik semangat agar dia memiliki keberanian menjayakan Andak Bertandak, terutama apabila bergandingan bersama pelakon teater yang lebih senior.

“Memang saya tiada pengalaman langsung untuk beraksi di pentas teater. Ketika produksi Mask Team mendekati saya, mereka berkata barisan pelakon semuanya hebat-hebat.

“Keith seorang yang sangat menyokong karier saya sebagai pelakon. Dia juga meyakinkan saya untuk terbabit dalam Andak Bertandak. Keith sendiri pernah berlakon teater Ombak Rindu di Istana Budaya,” katanya.

Riena, 26, juga beranggapan menjadi satu keperluan untuk dia menerima tawaran itu kerana ingin mencabar diri dalam pelbagai sudut demi meningkatkan kualiti lakonan.

“Keith berkata saya perlu terima tawaran itu supaya skil lakonan saya boleh dipertingkatkan, malah pada masa sama berpeluang untuk berguru dengan pelakon lain.

“Saya juga nak cabar diri sendiri dan gunakan peluang untuk menimba ilmu terutama daripada Ellie Suriaty dan Azhan Rani misalnya. Bukan senang nak beraksi sepentas dengan pelakon hebat.

“Mereka juga sangat membantu dengan berkongsi ilmu teater pada saya. Walaupun saya berasa diri ini kerdil, tapi layanan mereka buatkan saya selesa,” katanya ketika ditemui di sebuah restoran di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dekat dengan penonton

Teater Andak Bertandak bakal dipentaskan selama empat hari bermula 29 Ogos ini di Pentas 2, The Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPAC).

Teater itu diarah Azhar Zainal manakala skrip dihasilkan Fasyali Fadzly yang juga Dekan Fakulti Teater, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

Selain Riena, Ellie dan Azhan, pelakon lain turut menjayakan Andak Bertandak adalah Jay Iswazir, Dottie dan Fadhli Masoot.

Andak Bertandak berkisahkan kehidupan keluarga Andak dan masyarakat di sebuah kampung yang percaya kepada perkara tahyul hingga menolak perubatan moden tanpa sebab munasabah.

Pada Jun lalu, Riena yang popular dengan drama bersiri Kampung People itu mengakui mulai menjalin hubungan dengan Keith ketika penggambaran drama bersiri Bersalju Rindu disiarkan di TV3.

Keith pernah mendirikan rumah tangga dengan usahawan Kim Raymond pada Nov 2015, dan mempunyai seorang anak perempuan, Skylar, yang kini berusia tujuh tahun.

Riena berharap, teater Andak Bertandak mampu meninggalkan kesan yang sangat mendalam kepada penonton.

“Saya rasa skrip teater ini sangat dekat dengan penonton, jadi saya harap mereka akan suka,” katanya.