Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

Tak serik, tapi Dr Say akan lebih teliti upah pembantu rumah

Personaliti media sosial dan doktor selebriti, Dr Say Shazril, bertekad untuk lebih berhati-hati memberikan kepercayaan kepada pembantu rumah yang diupah untuk menjaga anak-anaknya.

Say berkata langkah itu diambil bagi mengelak kejadian pencerobohan baru-baru ini berulang sekali gus mengancam keselamatan tiga anak lelakinya yang masih kecil.

“Saya masih dalam keadaan terkejut kerana tidak percaya perkara sedemikian boleh berlaku.

“Paling tidak boleh terima, pembantu rumah bawa lelaki masuk sewaktu saya dan isteri berada di dalam rumah. Ia buatkan kami perlu berjaga-jaga selepas ini. Satu insiden begini sudah cukuplah," katanya.

Tambah Say dia dan isteri tidak mencurigai pembantu rumah terbabit kerana melihat dia menjaga anak-anak mereka dengan baik.

Daripada sikap itu, katanya, dia dan isteri memberikan kepercayaan kepada wanita terbabit. Namun dia mengakui ada kemungkinan dia mengambil sikap sebegitu kerana naif.

Meskipun mengakui sungguh terkilan kerana kepercayaan yang diberikan dikhianati, pemilik nama penuh Muhammad Shazril Shaharuddin itu berkata, dia tidak dapat mengelak daripada terus menggunakan khidmat pembantu rumah selepas ini.

Katanya, sebagai doktor perubatan menjadi satu keperluan untuk dia dan isteri, Dr Azura Abas, mendapatkan pembantu rumah kerana jadual harian yang tidak menentu.

“Terus-terang, kami tidak serik nak upah pembantu rumah sebab gaya hidup yang memerlukan seseorang menjaga anak-anak ketika kami keluar bekerja.

“Jika boleh dibahagikan kerja yang tidak menaikkan pendapatan atau kemajuan diri, kenapa perlu bersusah-payah untuk buat?

“Misalnya cuci baju dan pinggan, sedangkan kita boleh upah orang lain untuk lakukannya dan kita boleh fokus waktu yang ada untuk bersama-sama anak serta cari pendapatan lebih,” katanya.

Tak keluar semasa cuti

Dia berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran Sun Spectrum by Avenys di Astana Bamboo Hills, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sebelum ini, Say, 36, mendedahkan ada dua lelaki masuk ke rumahnya secara bersembunyi. Ia menjadi lebih mengejutkan apabila individu terbabit dijumpai menyorok dalam kain selimut di atas katil dalam bilik pembantu rumahnya.

Ketika itu, anak ketiga pasangan terbabit - yang berusia tujuh bulan - dijaga oleh kedua-dua pembantu rumah dalam bilik tersebut memandangkan isterinya perlu tunggu sedia (on call) untuk syif malam manakala dia menidurkan dua lagi anak lelakinya di tingkat atas.

Say berkata, bagi mengelak sebarang risiko tidak dijangka, dia menghubungi pihak polis kerana bimbangkan keselamatan anak ketiganya yang berusia tujuh bulan dan dijaga oleh mereka dalam bilik berkenaan.

Kejadian itu disedari selepas dimaklumkan oleh jiran yang ternampak dua kelibat lelaki masuk ke kediaman berkenaan.

Keadaan menjadi bertambah panik apabila kamera litar tertutup tidak menunjukkan sebarang tanda mereka keluar dari rumah tersebut.

Susulan kejadian itu, Say berkata, dia memecat pembantu rumah warga Indonesia yang baru berkhidmat dengannya selama empat bulan, manakala seorang lagi - dari Filipina - dikekalkan kerana tempoh bekerjanya bakal tamat tidak lama lagi.

Tambah Say, sepanjang 16 bulan menggunakan perkhidmatan pembantu rumah dari Filipina itu, dia berasakan wanita berkenaan ikhlas menjaga anak-anaknya.

Menurut Say, dia juga beranggapan pembantu rumah terbabit kemungkin berkelakuan demikian disebabkan terhimpit dek situasi.

“Sewaktu saya terjah bilik mereka, dia dan lelaki berkenaan masih berpakaian. Saya anggap dia masih seorang yang baik sebelum pembantu Indonesia datang.

“Waktu cuti dia tidak pernah keluar. Dia juga sering bercerita mengenai keluarganya. Dari situ saya tahu dia seorang wanita yang mementingkan keluarganya,” katanya.