Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Sophia Albarakbah nak seret penghantar mesej lucah ke mahkamah

Pelakon Sophia Albarakbah bakal menggunakan saluran undang-undang untuk menghukum pihak yang tegar memuat naik imej tidak senonoh serta kata-kata hinaan kepadanya melalui melalui media sosial.

Menurut Sophia, pihak pengurusannya ketika ini sedang giat mengumpulkan bahan bukti bagi mengheret setiap pelaku ke muka pengadilan.

“Saya selalu terima banyak imej lucah melalui DM (Direct Message) di Instagram. Saya tidak tahulah, adakah bagi mereka ini lawak?

“Pengurus saya sedang kumpulkan bahan bukti, siapa saja DM imej lucah atau memaki-maki, kita screen shot (tangkap skrin) dan simpan untuk tindakan seterusnya.

“Buka saja DM, dah boleh nampak betapa banyak mesej. Kalau orang itu normal, pasti dia tidak akan buat perkara seperti ini. Ini sudah tentu perbuatan seseorang yang psiko (sakit jiwa),” katanya.

Sophia, 31, mengakui dia semakin rimas dengan situasi tersebut kerana terpaksa berdepan dengan tindakan yang disifatkannya sebagai buli siber itu saban hari.

Tak boleh salahkan mangsa

Justeru, pelakon Pasal Kau! itu berharap pihak yang tidak bertanggungjawab berhenti daripada terus menjadikannya mangsa.

“Siapa saja yang tidak terjejas mental kalau kena hadap perkara begini setiap hari? Saya juga manusia biasa yang harus bekerja untuk teruskan kehidupan.

“Komen lucah dah satu hal, yang komen membenci pula macam bersungguh-sungguh benci tanpa sebab.

“Saya tidak boleh sekat akaun-akaun terbabit daripada mengikut saya di Instagram kerana kalau disekat, tidak dapat bukti,” katanya pada majlis pratonton filem terbaru lakonanya, Harimau Malaya: The Untold Journey di sebuah kompleks beli-belah di Petaling Jaya malam tadi.

Filem arahan Afdlin Shauki itu diinspirasikan daripada kisah perjuangan skuad Harimau Malaya era jurulatih Kim Pan Gong di peringkat kelayakan sehingga menempah tiket ke Piala Asia 2022 secara merit selepas penantian 42 tahun.

Filem itu akan mula ditayangkan pada 15 Ogos ini.

Nama Sophia sebelum ini ‘panas’ apabila dikaitkan sebagai orang ketiga dalam krisis rumah tangga penyanyi dan pelakon Aliff Aziz bersama bekas isterinya, Bella Astillah.

Aliff dan Bella rasmi bercerai talak satu buat kali kedua di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur pada 13 Jun lalu selepas beberapa episod siri kecurangan Aliff didedahkan.

Ditanya mengenai kebarangkalian dia kerap mengundang mesej tidak senonoh itu berpunca daripada caranya berpakaian, Sophia menyangkal tuduhan itu.

Katanya, pihak berbuat jahat tidak perlu mengira pakaian seseorang bahkan mendakwa kanak-kanak mahupun bayi tidak terlepas daripada menjadi mangsa pihak tidak bertanggungjawab.

“Kita ada banyak kes lelaki buat perkara tidak elok pada binatang. Adakah binatang pakai seksi? Yang pedofilia pula buat perkara tidak elok pada kanak-kanak atau bayi, jadi adakah bayi itu berpakaian seksi?

“Kita tidak boleh salahkan mangsa, kalau letak orang yang baik sebelah mana-mana perempuan, dia tetap tidak berbuat apa-apa,” katanya.