Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Menteri lihat video penceraian Nora, seru masyarakat patuh syariah

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar memaklumkan dia melihat rakaman video penceraian penyanyi Nora Ariffin yang diceraikan dengan talak satu oleh suaminya, Rushdi Ramli yang dikongsikan di media semalam.

Diminta memberi reaksi terhadap kejadian seumpama itu, Mohd Na’im berkata proses penceraian pasangan suami isteri sepatutnya dilakukan berlandaskan undang-undang.

“Walaupun dalam video itu saya pun ada nampak disebutkan nama Allah, tetapi saya nak ajak masyarakat dan suami-suami (bahawa) penceraian yang baik itu adalah dengan melibatkan penguasa negeri di bawah Seksyen 47 (undang-undang keluarga Islam).

“Timbul persoalan sah atau tidak penceraian itu, memang di bawah enakmen memberikan kuasa kepada mahkamah untuk mengesahkan lafaz cerai (yang berlaku) di luar mahkamah. Tetapi penceraian sebegitu merupakan satu kesalahan yang boleh didenda.

“Walaupun penceraian yang viral seperti dalam video-video itu kemungkinan sah, tetapi ia bertentangan dengan undang-undang sebab tidak mendapat kebenaran hakim-hakim syarie,” katanya kepada media selepas perasmian Projek Wakaf Surau Al-Marjan, Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Muda, di Kuala Lumpur, hari ini.

Semalam Nora berkongsi ramaman video di media sosial yang memaparkan Rushdi melafaz cerai dengan talak satu.

Menurut penyanyi Rela Berpisah itu rakaman berkenaan dibuat Rushdi sebagai mengikut arahan. Nora tidak menjelaskan pihak yang memberi arahan yang dimaksudkannya.

Sementara itu, Mohd Na’im menegaskan sekiranya pasangan suami isteri gagal mencari jalan pendamaian mereka hendaklah memfailkan permohonan bercerai di mahkamah syariah.

“Saya menyeru dan mengajak para suami dan isteri, sekiranya tidak boleh lagi berdamai mereka hendaklah memfailkan permohonan mendapatkan kebenaran bercerai daripada hakim-hakim mahkamah syariah di tempat mereka bermastautin.

“Saya berharap masyarakat Islam supaya janganlah menjadi mereka-mereka yang tidak mematuhi syariah.

“Seperti berlaku dalam video itu, memang betul kuasa suami nak lafazkan talak, tetapi biarlah mereka ini menjadi penasihat undang-undang kepada masyarakat, (dengan) mematuhi undang-undang yang ada dalam negara,” katanya.