Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

M Nasir raikan hari lahir Anwar di konsert Cipta

Di sebalik keasyikan peminat melayan konsert Datuk M Nasir 45 Tahun Cipta di Axiata Arena, Bukit Jalil malam ini, lagu ‘Allah Selamatkan Kamu’dinyanyikan khas penyanyi dan komposer legenda ini buat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkumandang di segenap pelusuk stadium tertutup ini.

Ribuan peminat yang terpukau dengan alunan merdu suara penghibur tersohor berkenaan yang telah mendendangkan beberapa lagu sebelum itu tidak melepaskan peluang turut sama menyanyikan lagu tersebut buat Perdana Menteri.

Tampil segak berbusana Melayu bersesuaian dengan tema konsert berkenaan, Pendekar dan Tradisional, M Nasir mendendangkan lagu berkenaan usai selesai segmen pertama dan penukaran busana.

“Konsert hari ini turut dimeriahkan dengan kehadiran pemimpin negara, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan hari ini merupakan hari ulang tahun beliau dan marilah kita sama-sama menyanyikan lagu buat beliau,” katanya.

Anwar yang hadir pada konsert itu dengan berbusana pahlawan berona coklat serta lengkap bertanjak menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-77 hari ini.

Hadir sama Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Anwar yang sebaik mendengar lagu ‘Allah Selamatkan Kamu’ dendangan sifu dalam industri hiburan itu turut sama bangun dari tempat duduknya manakala ribuan pengunjung turut sama ‘sporting’ dan berdiri menggamatkan seluruh stadium.

Sebagai tanda keberkatan hari ulang tahun Perdana Menteri, pulut kuning turut sama diberikan kepada Anwar usai lagu khas tersebut selesai berkumandang dan disusuli dengan tepukan gemuruh ribuan pengunjung.

Selepas upacara memotong pulut kuning itu, M Nasir turut mendendangkan sebuah lagu yang didedikasikan khas buat bekas Ketua Biro Politik Hamas As-Syahid Ismail Haniyeh yang terbunuh di Tehran pada 31 Julai lepas.

Konsert lebih tiga jam itu menyaksikan komposer legenda ini menterjemahkan perjalananan seninya selama lebih empat dekad menerusi nyanyian, lakonan dan seni lukis.

Lebih 30 buah lagu didendangkan penyanyi berusia 66 tahun itu yang menyaksikannya bukan sahaja mempersembahkan lagu-lagu kesukaan ramai tetapi juga lagu yang pernah dicipta untuk penyanyi lain dalam pelbagai genre sempena meraikan 45 tahun pembabitannya dalam industri.

Antaranya, Apokalips, Tanya Sama Itu Hud Hud, Mentera Semerah Padi, Ada, Sentuhan Listrikmu, Bercanda di Pasiran Pantai, Cinta Kristal, Cinta Sakti dan Senja Nan Merah.

- Bernama