Siapa biasa kerja dengan saya, tahu - Kamal Adli
Pelakon Kamal Adli berkata dia sentiasa patuh pada jadual ditetapkan penggambaran sepanjang 15 tahun berada dalam industri.
Justeru, katanya, tiada isu masalah disiplin terutama dakwaan sering hadir lewat ke set penggambaran wajar dibangkitkan oleh mana-mana produksi.
Menguatkan kenyataanya, suami kepada pelakon Uqasha Senrose itu berkata, banyak pihak sudah bekerjasama dengannya dan mereka mengetahui dia tiada masalah disiplin seperti didakwa pihak tertentu.
“Bagi saya benda ini tiada isu, sebab sudah lama saya buat.
“Contoh kalau call time jam 8 pagi, saya memang akan beritahu pihak produksi akan tiba lewat sedikit sebab saya bukan orang yang ambil sarapan pagi.
“Biasanya apabila saya tiba, saya akan terus bersiap, baca skrip sepintas lalu dan terus masuk ke set. Saya juga bukan orang yang perlu bersolek terlebih dulu.
“Jadi, siapa yang biasa kerja dengan saya, tahu saya bagaimana,” katanya.
Kamal berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem terbaru lakonannya, Takluk: Lahad Datu di GSC Mid Valley Megamall semalam.
Selain Kamal yang menjayakan watak Jai iaitu anggota khas pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Komando VAT69, filem tersebut turut dibintangi Syafiq Kyle, Fikry Ibrahim dan Eman Manan.
Takluk: Lahad Datu diinspirasikan daripada kisah benar insiden pencerobohan di Lahad Datu pada tahun 2013.
Ia menceritakan mengenai pencerobohan dilakukan kumpulan Gagasan Militan Nusantara (GMN) yang dipimpin oleh Raja Iskandar di kampung Batu Jugar. PDRM menubuhkan pasukan pengurusan krisis dan berusaha melakukan rundingan damai untuk mengelakkan pertumpahan darah. Namun, ketegangan meningkat apabila pasukan PDRM bertembung dengan militan GMN sewaktu memindahkan orang awam, menyebabkan rundingan dihentikan.
Filem arahan Zulkarnain Azhar itu akan ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 22 Ogos ini.
Sebuah produksi sebelum ini mendakwa Kamal gagal mematuhi masa penggambaran yang ditetapkan selain menyusahkan kru produksi yang terlibat.
Namun, Kamal, 38, menjelaskan dengan pengalaman dalam bidang itu, dia juga memahami rentak kerja sesebuah produksi.
Katanya, pada kebiasaannya, dia akan tiba sebelum sesebuah produksi memulakan penggambaran.
“Kalau saya lewat pun sejam saja sebab sudah boleh jangka bila penggambaran akan bermula daripada call time yang diberikan.
“Kalau call time jam 8 pagi, jam 9 pagi saya sudah sampai dan terus bersedia untuk masuk set,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai