Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

KOMENTAR | Mengenang Jay Jay yang tersendiri

KOMENTAR | Sekitar Mei 1988 diatur satu sesi fotografi melibatkan Jay Jay dan kumpulan Gersang di pejabat akhbar kami di Jalan Genting Klang. Ia dirancang untuk siaran sempena Aidilfitri.

Jay Jay yang baru bergerak solo ketika itu, mula aktif sebagai penerbit tetap di syarikat rakaman WEA. DIa mengambil tugas tersebut daripada Manan Ngah.

Projek pertamanya ialah menerbitkan album untuk Dayangku Intan. Biarpun sibuk dengan tugas barunya, Jay Jay masih sempat muncul dengan album solo - Kurnia.

Indahnya momen sewaktu pelancaran album Kurnia di Phase 2 pada Februari 1988 apabila Jay Jay menghadiahkan bunga telur kepada wartawan yang membuat liputan.

Ia suatu penghargaan yang agak berlainan berbanding majlis pelancaran album artis lain.

"Setiap sokongan dan tepukan adalah penyambung titian untuk saya meneruskan perjalanan ini. Kini saya muncul dengan cenderamata yang baru, itupun kurnia dan restu-Nya juga," kata Jay Jay.

Pada waktu sama lagu Doa Untuk Kekasih nyanyian Khatijah Ibrahim dan Ramli Sarip meletup sekali gus menjulang nama Jay Jay sebagai penerbit yang kreatif di syarikat rakaman antarabangsa itu.

Kreativiti Jay Jay sebagai penerbit baru terserlah apabila dalam albumnya ada sentuhan nama-nama besar iaitu Manan Ngah, M Nasir, Ramli Sarip, Jenny Chin dan Jayaratnam.

Keadaan sempat ‘panas’

Ketika itu juga kumpulan Gersang dengan vokalisnya, Man Bai, ialah kumpulan remaja yang sedang ‘naik daun’ di celah kehangatan pengaruh kumpulan rock.

Di dalam studio akhbar Mingguan Wanita pagi itu, timbul pula cadangan agar sesi fotografi berkenaan merakam detik Jay Jay bersama Gersang disertai jemaah di masjid.

Ia adalah untuk mencipta mood Aidilfitri apabila disiarkan kelak.

Disebabkan kebetulan sesi fotografi itu berlangsung pada pagi Jumaat, memang mudahlah ia dijalankan di masjid, dan ada masjid berdekatan dengan pejabat akbar tabloid itu di Sri Rampai.

Entah macam mana secara spontan terpancul kata-kata daripada jurugambar: "Nanti lepas fotografi depan masjid itu selesai, artis kenalah sembahyang Jumaat sekali."

Ramai sedia maklum bahawa Jay Jay memang sinonim dengan senyuman yang ramah serta tutur berhemah, tetapi kata-kata jurugambar itu menyentap emosinya.

Saya lihat wajah Jay Jay tiba-tiba merah padam. Dia lalu membidas jurugambar itu. Antara lain kata Jay Jay, bab sembahyang adalah urusan seseorang dengan Tuhan.

Nada Jay Jay seperti tersinggung kerana mungkin dia menganggap jurugambar terbabit cuba mempelecehkan golongan artis berkaitan soal sembahyang.

Kami membiarkan Jay Jay meluah emosi. Tidak lama kemudian suasana kembali reda.

Selama tiga dekad menjadi orang media, itulah kali pertama saya melihat Jay Jay beremosi.

Hubungan saya dengan Jay Jay pada masa itu memang cepat mesra biarpun saya baru setahun jagung menjadi wartawan. Kebetulan dia tahu saya adik kepada sahabatnya, Zulkifli Salleh.

Rindu Bayangan dari salun Cina

Kemudian setiap kali kami terserempak di stesen TV atau di syarikat Luncai Emas, Jay Jay akan menyapa: "Zul apa khabar?" atau "Nanti jangan lupa kirim salam pada Zul".

Abang saya dan Peter Lim adalah jururakam filem terbaik Asia yang pernah berkolaborasi dengan Jay Jay untuk filem Esok Masih Ada arahan Jins Shamsudin.

Kumpulan Carefree menjadi cameo dalam filem itu kerana fanatik remaja ada pada mereka.

Tidak lekang juga dari ingatan ketika abang menggantung poster mini Carefree pada ruang tamu rumah kami. Poster mini itu dedikasi teristimewa kepada abang saya dan tertera tandatangan semua anggota Carefree.

Populariti Carefree dengan lagu Rindu Bayangan ciptaan Omar Taib (lirik SA Manja) pernah mencetuskan fenomena sehinggakan menjuarai carta Lagu Popular Minggu Ini di radio RTM selama 13 minggu berturut-turut.

Kumpulan Carefree

Kalau difikirkan, lirik Rindu Bayangan itu sangat ringkas berbanding lagu Kini Baru Kau Sedar. Cuma istimewanya melodi Rindu Bayangan sangat meruntun jiwa.

Ketika era masih bersekolah pada awal 1980-an saya dan kawan-kawan memang suka bersantai di Sungai Wang Plaza. Di situ acap kalilah terdengar lagu Rindu Bayangan berkumandang.

Ia agak unik kerana lagu tersebut diputarkan dari sebuah salun Cina. Bahkan pekerja di situ turut menyanyikan lagi itu bersama-sama.

Populariti Jay Jay di Singapura juga tidak kalah. Kerana itu ramai remaja dilaporkan 'angau' kepadanya.

Sepupu saya di Singapura - yang kami panggil Intan - dapat dilihat begitu melentok apabila terdengar suara Jay Jay mendayu-dayu menyebut "bercahaya bukan intan, manisan bukan madu" yang menjadi antara lirik lagu Menyesal Tak Berguna.

Kebetulan juga rumah Intan itu terletak di Sims Drive dan ia berselang hanya tiga pintu dengan rumah ibu salah seorang anggota Carefree, Lokman.

Bayangkanlah bagaimana gegak-gempitanya jika Jay Jay singgah di rumah itu.

Tak terlibat jadi pelakon

Secara keseluruhan kehadiran Carefree dalam dunia hiburan negara dapat mengimbangi populariti artis dan pengaruh penyanyi dari Singapura terutama Black Dog Bone dan Flybaits.

Itu tidak mengambil kira genre muzik rock mula dikomersialkan Singapura dengan Sweet Charity, serta kumpulan nasyid terkenal mereka Al-Mizan.

Jay Jay jarang dikaitkan dengan muzik rock tetapi pada masa remajanya dia bersama Lord Ismail pemimpin kumpulan The Boys memang lucu jika dikenang.

Ketika itu mereka suka bermain gitar hingga larut malam di bawah berek polis di Kota Bharu. Sedang asyik menyanyikan lagu Delilah, ada penghuni tingkat atas menjirus sebaldi air ke atas kepala Jay Jay dan Lord.

Dua sahabat itu juga berjaya sebagai penerbit. Apa yang membezakan mereka ialah, Lord menumpu ke genre rock dan berjaya melahirkan penyanyi seperti Ella dan Shima, manakala Jay Jay ditakdirkan di lorong komersial pop.

Untuk makluman, Jay Jay juga memiliki kelebihan yang jarang ada pada vokalis lain. Hal itu ialah kerana dia boleh bermain gitar (bass), mencipta lagu serta menerbit album.

Sekiranya tiada undangan menyanyi, Jay Jay akan menghabiskan masanya membuat kerja di studio rakaman atau mengiringi konsert artis lain.

Justeru bukan sekali dua saya melihat kelibat Jay Jay di pentas persembahan untuk bermain gitar mengiringi konsert Sudirman mahupun M Nasir.

Cuma agak terkilan apabila Jay Jay tidak mengembangkan bakatnya di pentas lakonan tatkala dia berada di era kemuncaknya dahulu. Ia pernah dilakukan artis lain seperti M Nasir yang muncul dalam filem seperti Kembara Seniman Jalanan.

Wajah Jay Jay memang ada tarikan komersial, namun barangkali dia sudah menyematkan di dalam hatinya bahawa jiwanya tidak ada dalam dunia lakonan.

Jay Jay atau nama sebenarnya Mohd Fauzi Darus kembali kepada Maha Pencipta pada 4 Ogos lalu. Pengarah Muzik RTM, Mokhzani Ismail, berkata Jay Jay ada keistimewaan tersendiri kerana tidak semua penyanyi dapat melekat di jiwa seseorang.

"Saya pasti ramai akan merasai kehilangan Jay Jay kerana auranya, suaranya dan lagu-lagunya cukup berkesan.

"Semalam saya putar lagu Rindu Bayangan, air mata saya bergenang. Sangat terasa kehilangan sebutir bintang yang memberi impak dalam industri.

"Jay Jay tiada duanya. Sampai sekarang masih terngiang-ngiang tone suaranya dan alunan lagunya menyentuh jiwa," katanya.


ADAM SALLEH ialah bekas wartawan dan pengarang berita akhbar kumpulan Media Prima Bhd.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.