Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

Che Ta bersyukur bakal menantu bertudung, tiada media sosial

Pelakon Rozita Che Wan memberitahu dia tidak pernah meletakkan syarat kepada anak-anaknya dalam hal memilih pasangan, namun pada masa sama sentiasa mendoakan yang terbaik buat mereka.

Rozita atau lebih mesra disapa Che Ta itu berkata, walaupun baru dua kali bertemu calon menantunya, dia yakin wanita lulusan universiti itu mempunyai keperibadian baik.

“Saya teruja apabila bakal merisik calon menantu untuk anak sulung saya minggu depan. Nanti kami rancang nak beli cincin tanda.

“Saya selalu berdoa untuk kebahagiaan anak-anak tapi lepas ini kena doa rumah tangga dan jodoh yang terbaik pula untuk dia.

“Saya sebagai ibu gembira untuk dia (Ammar). Saya tidak kisah siapa pun dia pilih, saya nak dia bahagia," katanya.

Tambah artis kelahiran Alor Setar, Kedah itu lagi dia memang suka wanita pilihan anaknya itu kerana bertudung dan dibesarkan dalam keluarga yang baik serta alim.

Bagaimanapun, Che Ta, 51, menafikan dia menerima baik bakal menantunya hanya kerana wanita terbabit bertudung.

Kata pelakon terkenal dengan drama komedi Kiah Pekasam itu, sudah menjadi tanggungjawab seorang lelaki untuk mendidik isteri mereka sama ada bertudung ataupun tidak.

“Saya terima dia sebagai menantu bukan sebab bertudung tapi apabila dapat yang sudah bertudung itu lebih mudah.

“Ammar sebagai suami yang perlu mendidik jika wanita itu tidak bertudung untuk menjadi lebih baik.

“Kekasihnya itu pula bukan jenis suka main media sosial,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Kempen Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia Astro di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur hari ini.

Dua anak Che Ta iaitu Ammar Effendi (kiri) dan Aniq Ezzra

Melalui kempen itu, aktres berkenaan bakal muncul melalui drama berjudul Rombongan Makciks Ke Dataran Merdeka pada saluran Kita CH100.

Aktres itu membayangkan bahawa majlis pernikahan anaknya hanya akan dilangsungkan setahun lagi.

“Bakal besan saya mahu lepaskan dulu anak sulung mereka. Selepas itu baru majlis Ammar akan dilakukan.

“Tapi saya belum boleh berkongsi lebih perincian majlis kerana semua akan dibincangkan sewaktu merisik nantii.

“Doakan majlis berjalan dengan lancar,” katanya.

Selain Ammar , Che Ta juga mempunyai dua lagi anak iaitu Aniq Ezzra dan Aisyah Dhia Rana.