Pena terima peruntukan RM2.5 juta, sasar terbit 100 buku
Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena) akan menggunakan peruntukan Belanjawan 2024 sebanyak RM2.5 juta antaranya untuk program Projek Penerbitan Buku Pena – Malaysia Madani.
Menurut Presiden Pena Mohamad Saleeh Rahamad, menerusi program itu pihaknya akan menerbitkan 100 judul buku pelbagai genre, seperti novel, cerpen, puisi, buku kanak-kanak dan juga buku akademik serta esei.
Dia berkata penulis yang berminat boleh menghantar manuskrip kepada Pena bermula 1 Ogos hingga 15 November ini, dengan buku akan diterbitkan dalam tempoh enam bulan selepas penghantaran manuskrip.
“Penulis akan diberi royalti secara up front. Kami akan cetak sebanyak 1,000 naskhah untuk setiap judul dan 10 peratus royalti akan diberi mengikut harga jualan.
“Kami juga tidak meminta apa-apa bayaran daripada penulis, kami akan selesaikan semuanya,” katanya ketika sidang media di Petaling Jaya, Selangor hari ini.
Selain untuk dijual, dia berkata Pena akan bekerjasama dengan Perpustakaan Negara dan juga perpustakaan lain agar buku yang diterbitkan sampai ke khalayak yang luas.
Dalam pada itu, Saleeh menyuarakan penghargaan kepada kerajaan atas peruntukan yang diberikan untuk program tersebut.
“Program ini hasil daripada permohonan yang dikemukakan kepada pihak Kementerian Kewangan.
“Saya ucapkan terima kasih kepada kerajaan, khususnya Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang mengizinkan Pena sebagai badan pemegang taruh dalam soal pembangunan sastera,” katanya.
Dia berkata peruntukan itu juga akan digunakan untuk program lain, antaranya bengkel penulisan.
“Kami akan membuat satu usaha (penganjuran) bengkel penulisan manuskrip yang bermula di Miri pada lusa (Selasa).
“Selepas Miri, kami merancang akan ke tempat lain juga supaya penulis faham apakah bentuk penerbitan yang kami kehendaki dan bagaimana proses (terbitan) yang akan dilaksanakan,” katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai