Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

Penyanyi baru usah ghairah nak buat semua, kata Habsah

Penulis lirik terkenal Habsah Hassan berharap seseorang penyanyi yang baru bertapak dalam industri muzik janganlah terlalu gelojoh untuk memonopoli semua bidang seni serentak.

Katanya, di negara ini memang ramai penyanyi yang berbakat tetapi tidak semuanya berkebolehan untuk menjadi pakar dalam semua perkara.

“Sebagai pendatang baru, mereka perlu bersikap terbuka untuk belajar satu-satu perkara.

“Bagi orang lain buat itu, kamu pula buat ini. Mungkin kita hebat dari segi lirik tapi belum tentu kita boleh lahirkan melodi yang hebat, begitu juga sebaliknya.

“Bahagian penerbitan pula lain, bukan semua orang boleh menjadi penerbit. Semua orang harus bermula dari bawah untuk tujuan proses pembelajaran,” katanya kepada Malaysiakini ketika ditemui di Sg Penchala baru-baru ini.

Tambah penulis lirik Dari Kaki Tangga Ke Menara dendangan Fauziah Latiff itu lagi, pada kebiasaannya apabila seseorang penyanyi itu mula berasakan dirinya terlalu bagus, di situlah bermula detik kejatuhannya.

Kata Habsah, tanpa disedari penyanyi terbabit sedang melebarkan kelemahan secara tidak mereka sedari.

Justeru, katanya, adalah lebih baik mereka bekerjasama dengan pihak yang benar-benar mahir dan secara tidak langsung artis baru terbabit boleh belajar untuk memperbaiki kelemahan sendiri.

Namun, Habsah, 74, tidak menafikan memang wujud golongan yang benar-benar berbakat malah berkeupayaan untuk melakukan semua perkara sekali gus.

Katanya, senario juga boleh berbeza untuk seseorang artis yang sudah lama bergelumang dengan dunia seni tarik suara.

“Mungkin ada satu atau dua orang yang berbakat begitu, jadi tidak boleh nak kata tak boleh (monopoli semua cabang seni berkaitan).

“Laluilah proses pembelajaran dengan ambil langkah satu demi satu, jangan terburu-buru kerana ada hikmah di sebalik sikap berhati-hati," katanya.

Pada masa sama Habsah mengakui ada sesetengah artis veteran yang berhak untuk diiktiraf bakat besar masing-masing.

"Macam Allahyarham P Ramlee, tapi pada peringkat awal beliau jadi penyanyi pun, bukan dia yang hasilkan semua lirik.

"Begitu juga M Nasir, Allah beri bakat pada mereka tapi tidak ramai yang begitu,” katanya.