Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Fazura sokong hukuman lebih keras terhadap pembuli siber

Pelakon dan usahawan terkenal, Nur Fazura, berharap kerajaan akan menggubal akta yang lebih keras untuk membolehkan pembuli siber dihukum setimpal dengan perbuatan mereka.

Mendakwa terkesan dengan isu buli siber sehingga mendorong seorang pempengaruh, Rajeswary Appahu atau Esha, membunuh diri baru-baru ini Nur Fazura berkata, undang-undang yang spesifik mampu menangani gejala tersebut pada masa akan datang.

“Kita sebagai rakyat Malaysia memang sangat marah dengan isu buli siber sebab ia semakin berleluasa hingga Esha meninggal dunia.

“Mudah-mudahan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dan kerajaan berusaha keras untuk memperuntukkan akta lebih keras serta tegas bagi menangani isu ini.

“Kes buli membabitkan Esha membuka mata kita bahawa isu ini sebenarnya sangat serius kerana boleh membabitkan kematian,” katanya ketika ditemui pada pelancaran Koleksi Merdeka 2024 Prospec KPM X Fazura di sebuah hotel di Kuala Lumpur, semalam.

Baru-baru ini media melaporkan, ibu mendiang Esha menyokong usaha Fahmi untuk mengambil tindakan tegas terhadap platform media sosial jika kandungannya mempunyai unsur buli siber atau scam.

Kata Puspa P Rajagopal, 56, tindakan itu wajar bagi mengelak orang lain menjadi mangsa buli siber, selain pengajaran kepada mana-mana individu supaya tidak terbabit dengan sebarang kegiatan tersebut.

Susulan siasatan dan tindakan berhubung kes Esha, dua individu didakwa pada 5 Julai lalu. P Shalini kemudian didenda RM100 kerana mengeluarkan kata-kata kesat di TikTok untuk membangkitkan kemarahan, manakala B Sathiskumar mengaku bersalah membuat dan memulakan hantaran komunikasi lucah serta mengaibkan ibu Esha di aplikasi TikTok.

Bagi pertuduhan kedua, Sathiskumar mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengaibkan dan mengganggu ibu Esha. Mahkamah menetapkan 16 Ogos sebagai tarikh sebutan semula kes.

Menurut Nur Fazura, 40, fenomena buli siber sebenarnya sudah lama wujud di negara ini malah ia juga semakin meruncing dengan kebangkitan lebih banyak media sosial.

Katanya, dia juga tidak terlepas daripada turut menjadi mangsa buli siber sejak bergelar artis.

“Tapi biasanya saya biarkan saja ia begitu saja tapi mudah-mudahan lepas ini, saya harap kerajaan tidak akan ambil mudah perkara sebegitu,” katanya.