Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

KOMENTAR | Alangkah hinanya jadi seniman di Malaysia

KOMENTAR | Saya sengaja melengahkan tulisan mengenai Pyanhabib ketika ramai yang bercakap dan meratap kematiannya pada 4 Jun lalu. Saya baca dan saya dengar pujian orang ramai terhadap penyair kelahiran Perak itu dengan perasaan berbaur.

Saya teringat sajak A Latiff Mohidin - kematian akan terus menghidupkan nama seseorang. Pyanhabib membuktikan dia menjalani 'kehidupan' luar biasa selepas kematiannya. Media sosialnya terus hidup dan mendapat reaksi.

Bagi saya Pyanhabib - atau Mohd Supyan Abdul Rahman - tidak perlukan pujian. Ketika hayat atau selepas kematian, Pyanhabib tetap seorang legenda yang tidak memerlukan sanjungan melampau.

Memadai beliau dihargai dan keringat dinilai sewajarnya. Tetapi sejauh mana masyarakat menilai sumbangan insan seni?

Pyanhabib ialah contoh seniman yang tidak dihargai sewajarnya. Dia mencipta nama sekali gus mitos sejak akhir 1970-an. Namanya dijulang di pentas puisi, namun setiap kali bacaan sajak selesai, Pyanhabib jarang mendapat ganjaran setimpal.

Lebih 95 peratus majlis baca sajak yang dimeriahkan oleh Pyanhabib berlalu tanpa sebarang bayaran. Dia sekadar menerima tepukan dan sanjungan tanpa ada yang berfikir untuk memberi ganjaran terhadap insan seni yang tidak pernah lelah memburu suara.

Saya sering perli dia juga: “Kau bintang filim, ramai peminat.”

Pyanhabib berhenti kerja di Utusan Melayu pada 2005 semata-mata untuk merakyatkan seni. Ketika anaknya masih kecil dan isteri pula bergegas di antara rumah ke tempat kerja, Pyanhabib menghambakan diri ke pentas sastera tanpa bersuara tentang ganjaran.

Tak banyak berbeza dulu, kini

Jauh di pedalaman jiwanya akan ada birokrat seni, institusi penulis dan pimpinan negara yang disokongnya mengerti dan membiayai acara sastera. Namun ramai yang leka dan mungkin buat-buat terlupa.

Bagi mereka majlis baca sajak adalah percuma. Ia sekadar waktu untuk seronok-seronok.

Nasib Pyanhabib tidak banyak berubah. Majlis baca puisi kalau berbayar pun sekadar RM50  - angka yang tidak banyak berubah sejak tiga dekad lalu!

Acara baca sajak pada era digital dan media sosial rupa-rupanya tidak banyak berbeza daripada era baca sajak di bawah tiang lampu Pasar Budaya pada 1980-an.

Penyair membaca sajak secara percuma. Jarang ada orang yang memikirkan nasib seniman yang sengaja disisih.

Pyanhabib pernah merungut keringatnya diperah bagai kerbau di jelatang. Sajak dan namanya terpapar di papan iklan (billboard), stesen kereta api dan tren elektrik tanpa izin. Pyanhabib membayangkan ganjaran RM100,000 kerana sajaknya membesar dan menjadi tumpuan di tengah kota raya Kuala Lumpur.

Pejabat menteri khabarnya pernah berjanji. Lalu kemudian janji itu dicapati.

Pyanhabib berharap dan menanti. Sehingga kini hampir dua bulan beliau bersemadi di alam barzakh, keringat lamanya kering menjadi puing-puing yang dibawa angin entah ke mana.

Memang kematian Pyanhabib diratapi negara. Perdana Menteri - yang kononnya menggemari puisi Pyanhabib yang merakyat - sehingga kini tidak lagi bercakap tentang seni dan jati diri.

Menteri, timbalan menteri, wakil rakyat, tokoh korporat dan seniman yang dengan mata merah berkunjung pada malam kematiannya, kini mungkin sudah terlupa terhadap jasa seniman yang tiada galang gantinya itu.

Ditawar upah berlakon RM250

Memang benar seni adalah tentang kehalusan jiwa dan suara. Justeru, kehalusan menyebabkan sasterawan tidak dipandang berbanding pelawak dan pemain bola.

Sepanjang 40 tahun bersahabat sejak Hari Puisi Nasional pada 1981 di Kem Kijang Kota Bharu, terlalu banyak yang kami kongsikan perit derita menjadi seniman kecil.

Pyanhabib bukan saja deklamasi puisi tidak dibayar, malahan ada penerbit yang culas membayar lakonannya.

Ada syarikat pengiklanan yang menawarkan RM1,500 untuk penggambaran selama tiga hari di Gopeng, Perak. Itu pun dengan syarat Pyanhabib rela tinggal sebilik dengan beberapa kru lain di bilik berhawa dingin.

Pyanhabib menolak demi keselesaan peribadi. Jauh di sudut hati, adakah seniman empat dekad hanya layak menginap beramai-ramai untuk sebuah filem iklan yang bakal meraih keuntungan jutaan ringgit?

Beliau juga menolak tawaran untuk penggambaran di Kuala Selangor. Imbuhan yang dijanjikan: bayaran upah RM250 dan tanpa disediakan pengangkutan, minyak kenderaan dan penginapan.

Alangkah hinanya menjadi seniman di Malaysia!

Orang yang tidak mendekati Pyanhabib hanya mengetahui populariti sahaja tanpa mendasari masalah kehidupannya. Beliau tidak mendedahkan masalah peribadi kerana tidak yakin ia boleh mengubah kehidupannya.

Kali terakhir Pyanhabib menelefon saya ialah pada 13 Mei lalu. Ketika itu saya menyusur di antara lereng gunung dan lembah sepanjang perjalanan Jakarta ke Bandung.

Kami tidak dapat berkomunikasi dengan lancar kerana gangguan talian.

Banyak memberi kurang menerima

Sepulang dari Indonesia, saya sakit pula dan terpaksa berulang alik ke hospital. Badan lesu dan banyak masa terhabis di atas ranjang.

Pada malam kematiannya, seseorang menelefon saya pada jam 10 malam untuk berita sedih itu. Anak yang menjawab telefon pula tidak sanggup mengejutkan saya yang lena sejak 8.50 malam.

Pyanhabib dikebumikan 5 Jun ketika saya menemui pakar bedah di sebuah hospital. Secara fizikal kami jarang bertemu namun akrab di alam maya. Pyanhabib membantu saya mendapatkan tiga buku karya Nasir Jani - seniman dan pengarah yang saya sanjungi.

Pyanhabib juga insan yang melobi untuk membolehkan saya menyertai keluarga besar Utusan Malaysia ketika akhbar itu dipimpin Johan Jaaffar. Namun rezeki saya akhirnya di Berita Harian.

Mengenali Pyanhabib adalah mengenang insan yang bukan saja seninya, tetapi juga kawan yang jujur, prihatin lagi cerdik. Bukan mudah mencari orang seperti Pyanhabib.

Apabila menghayati Sajak-sajak Luka, saya mengenang luka seorang sahabat yang terlalu banyak memberi dan kurang menerima.

Luka Pyanhabib bukan sekadar mencari suara yang hilang, tetapi juga memburu pengertian banyak pihak.

Apabila saya membaca catatan penyair Ladin Nuawi mengenai persatuan penulis yang sepatutnya menganjurkan malam baca puisi Pyanhabib, pimpinan persatuan penulis memberi alasan: "Tunggu isteri Pyanhabib habis idah".

Saya tidak komen pada tulisan Ladin. Keluarga Pyanhabib pula menyatakan: “Saya baca tulisan Ladin tapi belum dihubungi persatuan penulis.” Justeru beliau tidak dapat mengulas lanjut.    

Tak kisahlah Bib, lu rehatlah di sana. Kerana gwa tahu betapa letihnya menjadi seniman.


IMLAN ADABI ialah sasterawan era 1980-an.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.