Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

KOMENTAR | Termengkelan menyaksikan Haji Murat

KOMENTAR | Pada 19 Julai 1869, Leo Tolstoy menulis di dalam diarinya yang dia menemui rumput duri Tartar.

Ia adalah terma yang sama digunakan Rusia pada ketika itu untuk merujuk kepada pejuang Chechnya.

“Ia membuatkan saya terfikir tentang Haji Murat. Saya mahu menulis (mengenainya).

"Ia mempertahankan hidupnya sehingga akhir, bersendirian di tengah-tengah medan, tanpa mengira apa, ia mempertahankan hidupnya.”

Maka, terhasillah Haji Murat pada 1912 yang merupakan sebuah karya istimewa buat Tolstoy.

Haji Murat berkisarkan tentang seorang panglima pemberontak Avar yang terpaksa membentuk perikatan dengan Rusia kerana ingin membalas dendam terhadap bekas ketua yang menculik ibu dan keluarganya.

Di dalam novela tersebut Tolstoy begitu prihatin untuk menyempurnakan Haji Murat, seorang pahlawan yang digeruni tetapi pada masa yang sama berpegang teguh pada ajaran Islam dan tidak mempersoalkan budaya tradisi bangsanya.

Dan pendekatan berbeza juga diaplikasikan dalam penceritaan Haji Murat.

Menurut penterjemah, Richard Pevear, karya terakhir Tolstoy itu bercanggah dengan semua prinsip moral, kerohanian dan estetika yang menjadikan dia seorang tokoh masyarakat terkemuka di dunia.

Mungkin kerana itu, Tolstoy tidak membenarkan Haji Murat diterbitkan semasa hayatnya masih ada.

Maka, apabila Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menguar-uarkan pementasan teater perdana Haji Murat yang diadaptasi Sasterawan Negara Anwar Ridhwan pada minggu lalu, tanpa perlu berfikir panjang pun kita tahu bahawa peluang itu harus direbut.

Pas masuk yang habis awal juga suatu petanda baik.

“Mungkin kita rindukan naskhah yang bagus, macam dulu-dulu,” ulas teman yang juga penyokong seni teater tempatan.

Sampai bila nak bermuka-muka

Tetapi harapan setinggi gunung yang dibawa bersama semasa menyaksikan teater ini akhirnya bertukar-tukar, daripada gelisah, kurang senang dan tidak puas hati pada pertengahannya.

Mengapa Haji Murat yang dipentaskan selama empat malam itu hanya mampu mengangkat rupa?

Kenapa projeksi sekumpulan penggiat teater negara di atas pentas Balai Budaya Tun Syed Nasir itu tenggelam timbul, tidak jelas dan tidak berapa 'sampai'?

Adakah kerana faktor lakonan yang kebanyakannya melokal sehingga ada yang menyamakan pengalaman itu seakan-akan menonton bangsawan?

Dan kenapa ya, rakaman imbas kembali Haji Murat memberikan vibe filem seram Jepun yang dibintangi pak pacak? Masakan karya penulis tersohor itu dibidankan sehingga jadi sebegitu?

Di mana silapnya? Pelaksanaan dan perlaksanaan teater, atau jangkaan terlalu tinggi daripada khalayak?

Ada terlalu banyak persoalan yang gagal dijawab sehingga kini.

Haji Murat di atas pentas teater di DBP ada berkata: “Anjing memberi keldai memakan daging, dan keldai memberi anjing memakan rumput. Apa jadi pada kedua-duanya?”

Maka, mungkin persepsi dan cita rasa itu boleh diketepikan kerana ia jelas berbeza dengan realiti tepukan gemuruh, standing ovation serta taburan pujian daripada pelbagai pihak untuk teater tersebut.

Tetapi itulah, sampai bila kita perlu terus bermuka-muka demi menjaga hati dan menyelamatkan perut sendiri?


NURUL LATIFATULLALLIZA ANUAR ialah pembaca Malaysiakini yang menggemari teater.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.