ULASAN | Mengaminkan doa seorang cinephilia pujaan
ULASAN SENI | Ada satu rasa yang menabrak. Perut serasa senak seperti ditumbuk rasa sebak tatkala membaca nota tulisan tangan Pyanhabib itu.
Memang nota tulisan Pyan itu pendek dan ringkas. Namun makna dan semangat yang dibawa di sebalik kata sesederhana itu memang tak mudah nak dilupakan.
Tulis Pyan: “Mendoakan anak-anak dan keluarga sahabat cemerlang di dunia dan akhirat. Dipermudahkan rezeki dan sentiasa dalam rahmat Allah.”
Tulisan penuh ketar itu membayangkan betapa menggunung keinginannya terhadap hajat yang dia kumpul menjadi doa-doa pilihan. Pyan memanjatkan permintaan itu setelah usai mengerjakan tawaf sewaktu dia dan isteri menjadi tetamu Allah mengerjakan umrah di Tanah Suci.
Namun ada satu perenggan lagi yang seakan tidak mahu Pyan lepaskan dari ingatan.
“Mendoakan NJ (Nasir Jani) berjaya dapat dana untuk buat filem terbarunya.”
Maka barangkali atas kekhuatiran itulah dengan rasa sebak dia menuliskan nota itu dengan tangan yang terketar-ketar.
Pada 17 Fe 2019 dalam artikel Mengenang 33 tahun Kembara Seniman Jalanan yang aku tulis di The Malaysian Insight. Aku sengaja menyebutkan: “Semasa Festival Filem Malaysia ke-6 pada Dis 1986 yang berlangsung di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra, Pyanhabib telah naik ke pentas dan menolak hadiah yang diberi kepadanya.
'Terima kasih pada panel juri kerana memilih saya sebagai (pemenang) hadiah khas. Tetapi saya datang di sini sebagai diri saya peribadi dan sebagai peribadi saya tak terima hadiah. Sebagai pelakon saya terima dan sebagai peribadi saya tak terima. Terima kasih,' katanya.
"Ucapan tegasnya itu telah disambut dengan penuh naif. Ada hadirin yang senyum. Tidak kurang yang mentertawakan seorang Pyanhabib.
"Kebanyakan mereka kabur dan tidak tahu perihal mengapa Pyanhabib menolak anugerah kemenangan dengan ucapan seganjil itu."
Kemudian pada 6 Feb 2022, aku sekali lagi menulis satu artikel berjudul Kembara Seniman Jalanan wajar diingat setiap Februari di Malaysiakini dengan sorotan, naratif dan perspektif yang lebih kurang sama dengan artikel yang ditulis dua tahun sebelumnya.
Ada dua hal yang sengaja mahu dihantar sebagai mesej utama dalam kedua-dua tulisan itu.
Mengundang ketawa, kecaman
Pertama, tentang bagaimana filem Kembara Seniman Jalanan berjaya mewujudkan satu watak aneh tapi hebat bernama Osman Tikus lakonan Pyan yang terbukti - selepas 38 tahun pun - masih tidak pernah dilupakan.
Malah adalah sangat tidak keterlaluan kalau dikatakan Osman Tikus adalah watak terbaik dalam sejarah yang pernah dihasilkan sepanjang zaman filem Malaysia.
Keduanya adalah tentang bagaimana Kembara Seniman Jalanan dapat mewujudkan pengekor dan pengikut yang berasakan filem tersebut bukan filem biasa.
Sebaliknya ia adalah sebuah filem monumental yang menjadi lambang penentangan orang tertindas terhadap kerakusan kapitalis dan ketidakadilan kekuasaan.
Lantas kerana itu filem tersebut terpaksa menempuh jalan sukar. Bahkan apa yang lebih malang dan memalukan ialah apabila ia gagal difahami oleh orang industri perfileman di negaranya sendiri.
Kenaifan yang berpunca daripada ketohoran pemikiran dan kedangkalan pengetahuan itu dapat kita dengar melalui suara yang mentertawakan Pyan sewaktu menyampaikan ucapan menolak anugerah Pelakon Lelaki Pembantu Terbaik yang dimenanginya menerusi filem Tsu feh Sofiah untuk bersolidariti dengan pengarahnya Nasir Jani dan Kembara Seniman Jalanan.
Tidak cukup dengan itu, malah tindakan berani Pyan bahkan mengundang ribuan kecaman. Banyak akhbar dan majalah melabel Pyan sebagai tukang sabotaj kerana tidak tahu menghormati majlis yang ketika itu turut dihadiri timbalan perdana menteri.
Bagaimanapun semua sejarah pahit yang ditempuh Pyan, Nasir Jani dan Kembara Seniman Jalanan dalam insiden berkenaan sebetulnya telah melahirkan penggemar filem tulen dan pencinta filem sebenar yang diistilahkan sebagai cinephilia.
Cinephilia adalah istilah yang merujuk kepada kecintaan, ketaasuban dan keghairahan seseorang terhadap filem yang meliputi aspek kandungan, pembikinan, sejarah, teori serta kritikan.
Bagi seorang cinephilia sebuah filem adalah seperti Lingkaran karya Arena Wati. Bagi seorang cinephilia filem tidak ubah seperti Tivi Shahnon Ahmad atau saling tak tumpah bak Hujan Pagi A Samad Said.
Dari pawagam ke tivi
Seorang cinephilia yang cintakan filem dan sayangkan pawagam atau sinema tidak akan menganggap filem sebagai hiburan kosong. Sebaliknya mereka memandang filem sebagai karya seni yang serius, kritikal, penuh makna dan kaya dengan perasaan.
Membaca nota Pyan mengingatkan tentang apa yang pernah aku tulis dalam ruangan ini lebih kurang sebulan lalu.
Tentang bagaimana aku secara peribadi mengharapkan karyawan seperti U-Wei, Wan Azli dan Abro Rivai - malah dalam konteks ini Nasir Jani - diberikan dukungan materi serta kewangan untuk menghasilkan filem-filem yang boleh melahirkan lebih ramai cinephilia.
Filem yang dihasilkan tanpa melahirkan cinephilia lambat laun hanya akan melumpuhkan sinema. Keadaan itu akhirnya nanti akan membunuh dan mematikan pawagam pula.
Hal itu pasti akan terjadi seandainya pembikin terus-menerus menghasilkan filem-filem yang rendah mutu, membosankan dan tidak lebih daripada sekadar hiburan semata-mata.
Hakikatnya dunia sinema telah banyak berubah dalam dua dekad kebelakangan ini.
Sinema yang pada awalnya dinikmati dari layar besar pawagam telah berubah ke kaca tivi, yang kemudiannya sekarang berpindah pada skrin telefon pintar dimiliki semua orang.
Teknologilah yang mengubah dunia penontonan dari pawagam kepada set home theatre di rumah hinggalah ke internet berkelajuan tinggi.
Semua itu berupaya mengurangkan keterujaan seseorang untuk ke pawagam, lebih-lebih lagi seandainya filem-filem yang dihasilkan adalah filem-filem pembodohan.
Oleh itu mari kita sama-sama mengaminkan doa Pyan. Moga Allah menerimanya, dan generasi cinephilia dapat terus dilahirkan.
Al-Fatihah buat Pyan seorang cinephilia pujaan.
HARIS HAUZAH hanyalah salah seorang teman yang sering mendapat motivasi dan dorongan daripada Pyanhabib untuk terus menulis.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai