Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

Pensyarah: Kembalikan lagu patriotik sentuh jiwa, bersuara 'jantan'

Kerajaan dilihat masih lagi lemah dalam dalam menyampaikan naratif agenda nasional dan polisi mereka kepada rakyat.

Justeru, perlu ada langkah yang lebih kreatif dalam mengatasi masalah tersebut, dan antara kaedah yang boleh dimanfaatkan ialah melalui seni lagu.

Pensyarah kanan di Jabatan Sejarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Sahul Hamid Mohamed Maiddin, melihat sehingga kini lagu-lagu propaganda yang dihasilkan oleh kerajaan seperti Malaysia Madani nyanyian Bunkface belum mampu berbekas hati rakyat.

“Pendengar apabila menerima sesebuah lagu, pertama kerana muzik dan melodinya; kemudian kedua, kerana liriknya.

“Untuk lagu Malaysia Madani ini, saya lihat muziknya hanya menyantuni orang muda, bukan seluruh lapisan masyarakat," katanya kepada Malaysiakini.

Menurut Sahul Hamid, memang diakui lirik dalam lagu itu ada menyempaikan mesej mengenai falsafah Madani yang dibawa Perdana Menteri Anwar Ibrahim namun ia belum mencukupi.

Oleh itu, kata Sahul Hamid, kerajaan harus menggerakkan jenteranya untuk mencipta lagu dan muzik yang lebih sesuai seperti berentak marching (pancaragam).

Sahul Hamid Mohamed Maiddin

Lagu itu pula, katanya, perlu disampaikan oleh penyanyi yang memiliki bersuara jantan seperti Roy yang sebelum ini memang sinonim dengan genre sebegitu.

“Untuk lagu patriotik ini, kita semua suka akan lagu berentak marching kerana ia membangkitkan rasa dan semangat seperti Inilah Barisan Kita.

“Ketika pentadbiran Dr Mahathir Mohamad kali pertama, banyak lagu begini dihasilkan,” katanya.

Sahul Hamid turut menyelar kegagalan kerajaan memanfaatkan karyawan-karyawan seni di negara ini melaksanakan usaha tersebut di sebalik pelbagai sumber yang mereka kuasai.

Gagasan yang tak jelas

Sebaliknya, kata pakar sejarah tersebut, kerajaan dihinggapi "penyakit" kerana leka dengan pujian pihak tertentu.

“Akibat pujian berlebihan oleh pengampu, kerajaan ini ada penyakit 'kami lebih tahu' sehinggalah karyawan diabaikan,” katanya.

Pada 23 Jun lalu Malaysiakini menyiarkan pandangan bekas Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi, yang menegur Putrajaya kerana gagal menangkis serangan pembangkang yang menggunakan pendekatan lagu bercorak hasut maya (troll).

Katanya langkah tersebut patut ditangani dengan strategi yang betul iaitu menggunakan kaedah seni lagu juga.

Dia turut memberikan beberapa contoh lagu propaganda yang berjaya membentuk pemikiran majoriti rakyat pada suatu masa dulu.

Langkah menggunakan akta tertentu dan mengharamkan kritikan, katanya, bukanlah tindakan "jantan" bagi menghadapi musuh politik.

Pensyarah kanan di Kolej Pengajian Seni Kreatif UiTM, Saiful Akram Che Cob, pula berpendapat strategi propaganda kerajaan melalui seni hanya boleh menjadi kuat sekiranya mereka mempunyai polisi dan agenda nasional yang jelas.

“Jika konsepnya jelas dan gagah, maka propaganda juga akan senang 'masuk' serta 'merasuk' ke dalam sukma massa," katanya.

Bercakap kepada Malaysiakini, Saiful Akram menyatakan, masalah utama kerajaan Madani ialah polisi dan gagasannya itu masih kurang jelas dan tidak difahami rakyat.

Saiful Akram Che Cob

“Perdana Menteri Anwar Ibrahim berusaha untuk membawa wacana-wacana beraras tinggi terhadap segala perkara, malah hingga kepada polisi negara.

“Namun secara realiti, penerimaannya masih belum menyeluruh serta gagal berakar umbi, ditambah pula dengan (isu) desakan kos sara hidup yang tinggi menyebabkan gagasan Madani tidak menginspirasikan rakyat,” katanya.

Saiful Akram turut mengkritik lagu Malaysia Madani yang dirasakan melodinya tidak sesuai untuk semua lapisan masyarakat.

Justeru dia menyarankan kerajaan melihat dan 'belajar' daripada lagu Kemegahan Negaraku yang dihasilkan pada 1963 sebagai sumber inspirasi.

Ada sasaran tersendiri

“Seni kata lagu itu sendiri juga harus merakyat, tajam dan tebal dengan 'jarum-jarum propagandistik, bersalut rentak dan tempo yang marching dan membawa harapan,” katanya.

Namun, penyanyi kumpulan Blues Gang, Ito Mohd, beranggapan sesebuah lagi propaganda tidak semestinya terikat kepada irama marching semata-mata.

Memberikan contoh lagu kempen politik Prabowo Subianto semasa berkempen untuk jawatan presiden Indonesia, Ito berkata, mesej yang dibawa Oke Gas itu berjaya sampai kepada rakyat walaupun tidak disertai lirik yang beraras tinggi.

Lagu itu, kata Ito, menyampai mesej kepada rakyat untuk hidup tenang dan bergembira.

Ito Mohd

“Saya lihat anak muda sekarang lebih suka muzik yang membolehkan mereka berjoget,” katanya.

Ito menambah apa yang lebih penting ialah kerajaan harus mengadakan perbincangan dengan pihak yang lebih pakar dalam menghasilkan lagu propaganda.

Penyanyi rap dan Adun Lembah Jaya di Selangor, Altimet, meminta masyarakat jangan cepat menghukum lagu patriotik dan propaganda yang dihasilkan oleh kerajaan hari ini.

Katanya ada ketikanya sesebuah lagu itu perlu mengambil masa untuk benar-benar masuk ke dalam jiwa rakyat.

“Setiap orang ada (selera) halwa telinga masing-masing. Sedap di telinga ini mungkin tidak di telinga sana.

"Yang pasti seni harus terus berjalan. Mungkin satu lagu ini sasarannya untuk golongan ini,” katanya.