Mengenang Pyanhabib di Lipis pada Sabtu ini
Selang beberapa hari selepas dikejutkan berita sedih meninggal dunianya Pyanhabib, hati saya melonjak hendak membuat tribute belangsungkawa kepada arwah.
Arwah pernah beberapa kali sampai ke bandar Kuala Lipis ini dan nampak dia sangat menyenanginya. Saya juga menyimpan hasrat ingin mengundang Pyanhabib membaca puisi di Kuala Lipis pada tahun ini.
Namun adalah jelas hajat itu tidak akan kesampaian.
Sejak awal perkenalan kami, saya senang membahasakan Pyanhabib dengan panggilan abang. Pun begitu sesekali ada juga kami ber-gua dan be-lu.
Saya dengan Benludin Azhar mengenali Pyanhabib sejak orang ramai ligat melayan blog. Bermula saling menyapa di blog, kami terus rasi dan keserasian itu membawa sehingga bersua muka.
Rencana awal kami mahu menjayakan tribute buat Pyanhabib sekadar melaungkan puisi-puisi di bawah tiang lampu pada malam Sabtu di tapak Pasar Stesen Lipis.
Entah mengapa, getaran program sebegitu akan sangat terasa "cool" kalau dapat dijadikan kenyataan.
Namun Tuhan meletakkan takdir yang lain. Majlis Daerah Lipis mendapat maklum akan hajat saya lalu mereka menghulurkan bantuan dengan memberikan ruang yang lebih kondusif.
Ekoran dari itu timbul dalam pertimbangan fikiran saya untuk membuat acara yang lebih agak tersusun - dan pada masa sama tetap dengan vibe rugged era Kembara Seniman Jalanan.
Bagaikan dinamo lampu basikal tua, akal saya bekerja mencari idea. Mujur ada kawan-kawan yang sanggup membantu. Pasukan tak bergaji timbul dengan nama Penyair Bukan Bintang.
Bergeraklah kami membawa semangat Kembara Seniman Jalanan dalam menjayakan misi untuk acara tribute itu.
Kami kumpulan bukan bintang, bukan juga profesional, menggagahkan semangat membawa nama Pyanhabib ke daerah Lipis dengan harapan dapat menyapa hati dan jiwa seni orang di bandar itu.
Pada jam 9 malam 22 Jun ini, bertempat di Laman Dataran Batu Penanda 0 Kuala Lipis, insya-Allah, buat julung kalinya kami akan bawakan acara kesenian dalam mengimbau suasana zaman Kembara Seniman Jalanan.
Ia adalah waktu Pasar Seni di Kuala Lumpur masih segar dengan pesta jiwa. Ia juga antara detik gemilang riwayat hidup Pyanhabib.
Puisi Pyanhabib Di Stesen membawa maksud puisi beliau sudah ‘sampai’. Bagi anda yang berkelapangan jemput hadir meraikan bersama.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai