Cara kerajaan melayan seniman tidak memuaskan
'Hilangnya' seniman disenangi ramai - Pyanhabib - dari dunia ini pada 4 Jun lalu bukan saja membawa ingatan sedih terhadap susuk unik dari Changkat Ibol di Perak itu.
Ia sekali gus mengingatkan ramai orang kepada nasib sejumlah seniman lain yang pernah atau masih membawa idealisme yang sama seperti si 'Osman Tikus'.
Ada beberapa nama lain yang dapat diingati selain Pyanhabib. Misalnya Sasterawan Negara A Samad Said dan Dinsman, selain Allahyarham Syed Ahmad Jamal, Allahyarham Shahnon Ahmad serta Allahyarham Azizi Haji Abdullah.
Dua nama pertama di atas masih ada namun dilaporkan dalam keadaan agak uzur, manakala dua yang terakhir sudah meninggal dunia.
Mereka - serta banyak nama lain - adalah nama dan susuk yang sering muncul di pentas-pentas ceramah atau aktiviti parti pembangkang sebelum 2018. Kadang-kadang mereka dijadikan 'umpan' untuk menarik seramai mungkin orang ramai agar mendengar ucapan para pemimpin politik.
Kini ketika PH sudah menjadi kerajaan, beberapa aktivis dan seniman menganggap sangat wajar watak yang banyak berjasa itu dihargai dengan sebenar-benarnya.
Lebih penting penghargaan itu mesti dilakukan ketika mereka masih bernyawa.
Aktivis budayawan dan pensyarah sains politik, Muhaimin Sulam, berkata kerajaan hari ini harus sedar bahawa rata-rata seniman terbabit terlibat dengan perjuangan Reformasi sejak 1998.
Malah, katanya, kebanyakan mereka memperjudikan periuk nasi dengan memilih untuk memenangkan pembangkang ketika itu dan berdepan dengan penguasa semasa.
“Hasil seni mereka melalui cerpen, sajak, novel, muzik dan seni persembahan merupakan antara penyumbang kepada kemenangan kerajaan ini sebanyak dua kali iaitu 2018 dan 2022,” katanya kepada Malaysiakini.
Rasa macam mengemis
Justeru, kata Muhaimin, kunjungan ziarah yang diiringi dengan gambar-gambar untuk siaran media sosial atau bantuan kewangan one-off bukanlah cara yang betul untuk menghargai seseorang seniman berjasa.
Dia yang juga ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional menyatakan kebanyakan karya yang dihasilkan oleh seniman terbabit berbentuk perlawanan kepada orang yang berkuasa.
“Kini kerajaan harus memberi sokongan kepada mereka untuk menghasilkan karya kenegaraan dan pembinaan negara bangsa yang seiring dengan konsep Madani,” katanya.
Menurut Muhaimin, Malaysia kaya dengan anak seni yang memberikan sumbangan besar dalam kesedaran sosial namun sering tidak mendapatkan penghargaan selayaknya.
Dia yang suatu ketika dulu pernah aktif menganjurkan program untuk mengetengahkan seniman berkenaan berkata, keadaan ketika ini sangat ironi.
"Dulu semasa PH - dan sebelumnya, Pakatan Rakyat (Pakatan) - kami mudah saja nak dapat sokongan dan dana untuk buat sebarang aktiviti.
"Tapi sekarang dah jadi kerajaan, terbalik pula. Susah sangat nak dapat sokongan dan ruang, malah kadang-kadang rasa macam mengemis," katanya.
A Samad - atau lebih mesra disapa Pak Samad - merupakan watak yang menonjol dalam pelbagai aktiviti PH dan Pakatan termasuk menyertai protes jalanan.
Penulis novel Salina itu pernah berdepan dengan gas pemedih mata dilepaskan pasukan keselamatan.
Syed Ahmad Jamal pula menyumbangkan jasanya lebih awal, khususnya kepada PKR. Seniman Negara 1995 itu adalah orang yang bertanggungjawab mencipta logo Parti Keadilan Nasional, iaitu parti asal PKR.
Bekas pengarah Balai Seni Lukis itu juga mencipta arca ikonik Puncak Purnama yang kemudian dirobohkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pada 2016 kerana dianggap kerajaan ketika itu hanya menyakitkan mata.
Syed Ahmad Jamal meninggal dunia pada 30 Julai 2011.
Sebelum itu Azizi adalah seorang guru yang menjadi aktivis PAS dan pernah dipertaruhkan parti itu sebagai calon pilihan raya. Dia dikenali sebagai penulis prolifik khususnya dalam genre novel dan cerpen.
Antara mahakaryanya ialah Seorang Tua Di Kaki Gunung dan Ayahanda. Banyak pihak menganggap Azizi - yang meninggal pada 21 Ogos 2011 - adalah penulis yang layak diangkat sebagai Sasterawan Negara namun dinafikan kerana pembabitannya dengan pembangkang.
Dinsman pula merupakan adalah sasterawan dan budayawan yang menonjol dalam seni persembahan khususnya teater dan drama pentas. Sewaktu gerakan Reformasi sedang hangat, dia sering membacakan sajak Macam Orang Gila.
Sementara itu penyanyi kumpulan Blues Gang, Ito Mohd, berkata secara umumnya seniman yang memilih untuk 'melawan' suatu masa dulu kini dilayan secara tidak bertamadun pihak lain, termasuk kerajaan.
“Masyarakat tidak menghargai penat lelah kami dalam menghasilkan seni sehingga ketidakadilan berlaku pada kami.
“Macam saya sampai sekarang terpaksa bekerja membuat membuat album baru dan konsert kerana duit royalti dari album lama saya masih tidak dapat.
“Penerbit kaut untung besar, kami masih susah. Saya pun ada bil api, air dan elektrik kena bayar,” katanya.
Pada masa sama Ito mencadangkan agar kerajaan segera mewujudkan akta khusus bagi membela nasib artis serta seniman dari sudut hak royalti.
Aktivis seni Raja Ahmad Aminullah pula memberitahu seniman sepertinya akan mengekspresikan apa yang ada di hati nurani dan minda secara ikhlas melalui karya seni.
“Kami bukan seperti pengampu atau 'yes man’ (tukang angguk) kerajaan demi habuan dan hasil. Tak pernah terfikir kami untuk mendapatkan apa-apa penghargaan daripada pihak kerajaan,” katanya.
Wujudkan Hadiah Pyanhabib
Namun Raja Ahmad menyatakan wajarlah kerajaan mengambil inisiatif untuk menghargai seniman dengan menjaga kebajikan mereka.
“Jangan bertanyakan kepada seniman tentang apa yang harus dilakukan. Sepatutnya pihak seperti Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya memikirkan rancangan secara berstruktur untuk membantu penggiat seni.
“Mereka ada ribuan kakitangan, takkan itu pun seniman yang harus memikirkan untuk mereka,” katanya.
Pun begitu Raja Ahmad mengakui kerajaan di bawah Anwar Ibrahim menampakkan usaha untuk menghargai seniman dengan mengadakan ziarah serta bantuan tunai kepada anak seni veteran.
Cuma, katanya, dia melihat langkah seperti itu sekadar penyelesaian jangka pendek dan tidak membantu anak seni untuk jangka masa panjang.
Pensyarah Sains Politik di Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Muhamad Takiyuddin Ismail pula tidak bersetuju dengan anggapan bahawa anak seni diabaikan oleh masyarakat dan kerajaan.
Sebaliknya kata Takiyuddin, dia melihat anak seni sendiri yang tidak mahu atau tidak gemar meraih simpati serta menerima bantuan.
“Kebanyakan mereka memang tidak mahu meminta-minta dan memohon bantuan secara terbuka melainkan sudah sangat terdesak,” katanya.
Menjadikan Pyanhabib sebagai contoh, Takiyuddin berkata, jika penyair dan pelakon itu meminta sebarang bantuan sudah tentu ada banyak pihak yang sanggup tampil menghulurkan tangan.
“Ini kerana beliau disayangi segenap lapisan masyarakat seperti yang dapat kita lihat dalam reaksi orang ramai dan rakan-rakannya sejak dua hari ini.
"Cumanya meminta-minta itu bukan karakter beliau,” katanya.
Namun Takiyuddin meminta kerajaan mesti bersikap proaktif dalam membantu serta menghargai golongan seniman melalui kaedah 'risikan' daripada kementerian dan jabatan.
“Kerajaan juga boleh melantik mereka menjadi karyawan tamu di banyak institusi pengajian tinggi.
“Dalam kes Pyanhabib contohnya, fakulti pengajian sastera boleh mewujudkan Hadiah Pyanhabib bagi menghargai pelajar cemerlang dalam sastera,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai