Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 bulan diterbitkan

Lebaran pertama tanpa ayah

Menyambut kedatangan Syawal buat pertama kali tanpa kehadiran bapa di sisi pasti membuatkan hari raya pelakon Anna Jobling diulit dengan rasa kesedihan.

Bagi aktres itu, rutin Aidilfitri yang disambut tahun ini nyata berbeza selepas Abdul Rahman Jobling meninggal dunia pada 7 Sept lalu.

“Tahun ini raya kami rasa sangat sunyi sebab bapa sudah tiada lagi untuk sambut Aidilfitri bersama-sama,” katanya.

Berkongsi kenangan bersama bapa, selebriti dengan nama penuh Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman itu berkata orang tuanya tidak banyak kerenah.

“Walaupun arwah bapa mat salleh, tapi saya seronok apabila tengok cara dia masuk kampung. Dia sangat serasi dengan makanan Melayu.

“Bapa tidak kekok makan apa saja juadah ketika Aidilfitri terutama nasi impit dengan kuah kacang,” katanya ketika ditemui pada majlis DD Cat and Anna Jobling #Rayasedondon di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Paling melucukan, kata Anna, 23, sewaktu melihat arwah bapanya itu berkomunikasi dengan penduduk kampung.

Pelakon Melur Untuk Firdaus itu berkata walaupun terdapat jurang bahasa namun ia tidak menjadi kekangan buat bapanya yang berasal dari United Kingdom itu untuk menyesuaikan diri.

“Dia akan cuba berborak hampir dengan semua orang walaupun tidak boleh cakap bahasa Melayu.

“Ia dah jadi macam ayam dengan itik bercakap.

“Cara dia serasikan diri membuatkan dia seorang bapa yang sangat mengagumkan,” katanya.