Aliff, Ruhainies mohon maaf, dakwa ada laporan tidak tepat
Pelakon dan penyanyi Singapura, Aliff Aziz memohon maaf susulan ditangkap khalwat dengan aktres wanita di sebuah kondominium mewah semalam.
Aliff menegaskan dia bukannya ingin menegakkan benang basah sebaliknya mendakwa berlaku banyak salah faham berhubung kejadian yang berlaku.
Justeru kata penyanyi lagu Taubat itu, dia bakal memberi penjelasan berhubung kejadian sebenar.
“Bukan ingin menegakkan benang yang basah, sekadar berkongsi kepada yang ingin mendengar, insya-Allah.
“Selebihnya saya memohon maaf atas apa yang terjadi dan semoga keterangan yang akan saya sampaikan nanti sedikit sebanyak dapat menerangkan tanggapan semua.
“Seharusnya keadaan yang dapat dielak akan tetapi saya akan memberikan keterangan mengenai apa yang berlaku sebenarnya nanti bagi mengelakkan lebih salah faham mengenai apa yang terjadi,” katanya.
Menurut Aliff, 33, berdasarkan situasi yang berlaku semalam, terdapat banyak spekulasi dan laporan yang sengaja dibesar-besarkan.
“Tetapi saya juga faham tanggapan semua kerana keadaan itu sudah menimbulkan syak wasangka yang boleh menimbulkan fitnah,” katanya.
Semalam Malaysiakini melaporkan isteri Aliff, Bella Astillah hanya berlinang air mata sewaktu diwawancara oleh sebuah program hiburan di sekitar pejabat Jabatan Agama Islam Wilayah (Jawi) ketika ditanya berhubung suaminya yang dicekup khalwat.
Adik Bella, Didi Astillah pula memohon agar kakaknya yang masih terkejut dengan berita itu ruang untuk mengumpul kekuatan diri.
Sementara itu, pelakon Ruhainies yang ditangkap khalwat dengan Aliff turut memohon maaf atas kekhilafannya.
Kata Ruhainies, terdapat beberapa laporan tidak tepat berhubung kontroversi mengaitkan namanya dengan Aliff.
“Bagi menjawab segala spekulasi atas apa yang sedang diperkatakan di semua platform media sosial, saya dengan rendah diri ingin nyatakan di sini, ada beberapa kenyataan yang kurang tepat tersebar.
“Bagaimanapun saya ingin memohon maaf kepada semua atas apa yang terjadi.
“Saya juga berharap spekulasi ini dapat dihentikan sehingga saya memberikan kenyataan bagi mengelakkan daripada kekeliruan dan salah faham,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai