Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 6 bulan diterbitkan

Potret Orang Asli Bateq, Semaq Beri dipamer di Tokyo

Potret Orang Asli suku kaum Bateq dan Semaq Beri yang mendiami pedalaman Kelantan dan Terengganu berjaya “diterbangkan” ke Tokyo, Jepun baru-baru ini untuk dipertontonkan keunikan penduduk asal itu kepada masyarakat di negara Matahari terbit.

Ia dipamerkan menerusi pameran fotografi bertajuk “Hunter-Gatherers of the Malaysian Rainforest; Bateq and Semaq Beri” anjuran Research Institute for Languages and Cultures of Asia and Africa, Tokyo University of Foreign Studies (TUFS) dan TUFS Field Science Commons di dua galeri, masing-masing pada Januari dan Februari lepas.

Sebanyak 36 keping gambar Orang Asli suku kaum Bateq dan Semaq Beri yang menceritakan mengenai kehidupan mereka seperti makanan, perubatan, tempat tinggal dan perhiasan selain beberapa peralatan Orang Asli seperti alat muzik tradisional iaitu Gingong, sikat buluh dan beg mengkuang dipamerkan.

Kesemua gambar berkenaan adalah hasil “bidikan” jurugambar profesional dan penyelidik bebas, Suzairi Zakaria atau lebih mesra dikenali sebagai Dome Nikong.

Dome yang berasal dari Setiu, Terengganu sebenarnya telah mendokumentasi perjalanan kehidupan Orang Asli suku kaum Bateq di Kampung Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan dan Semaq Beri di Tasik Kenyir sejak 15 tahun yang lepas selain aktif terlibat dengan usaha konservasi hutan.

Dome berkata pameran fotografi itu sebenarnya bertitik tolak daripada jemputan seorang ahli antropologi Jepun, Dr Aya Kawai yang sebelum ini telah beberapa kali berkunjung ke penempatan Orang Asli di Kampung Kuala Koh untuk melakukan kajian mengenai etnik itu.

“Beliau (Kawai) tahu yang saya selalu buat kerja-kerja dokumentasi Orang Asli suku kaum Bateq dan Semaq Beri. Jadi beliau menyatakan minat untuk mempamerkan gambar yang saya rakamkan itu untuk diperlihatkan kepada masyarakat Jepun di sana.

“Saya pula teruja untuk berkongsi gambar nadir ini kepada masyarakat luar, apatah lagi ini pertama kali hasil karya saya mendapat perhatian di peringkat antarabangsa, mungkin kurang diminati di tempat kita, namun ia membawa kepada percambahan minat mereka yang berada jauh nun di sana (Jepun),” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Gambar fail, Dome Nikong bersama para pemain gasing pangkah dari suku Semaq Beri di Tasik Kenyir.

Dome berkata perancangan untuk mengadakan pameran itu telah dirancang sejak Ogos tahun lepas menerusi pelbagai siri perbincangan bersama Kawai serta pihak galeri di Tokyo yang dilakukan menerusi aplikasi persidangan video, Zoom.

Lebih menarik, Dome berkata ketika pameran yang berlangsung pada Januari itu, beliau telah diberikan peluang untuk bersoal jawab bersama pengunjung yang hadir mengenai suku kaum Orang Asli Bateq dan Semaq Beri serta berkongsi pengalamannya dalam mendokumentasikan kehidupan kedua-dua suku kaum itu.

“Dalam koleksi peribadi, ada lebih 20,000 keping gambar Orang Asli. Untuk pameran ini, saya senarai pendekkan kepada 60 keping gambar iaitu 30 keping Orang Asli suku kaum Bateq dan 30 keping Semaq Beri...yang akhir final Aya (Kawai) dan pihak galeri yang memilih.

“Kesemua gambar itu saya berikan dalam bentuk salinan lembut dan kemudian persiapan termasuk cetakan dan susun atur pula dibuat oleh pihak penganjur. Ada gambar bersaiz A3 (329 milimeter (mm)×483 mm), A1 (594 mm x 841 mm) dan ada juga B1 (1030 mm×1456 mm). Kebanyakan gambar mewakili cara hidup mereka di dalam hutan,” katanya.

Pendedahan pada orang Jepun

Dome juga berharap pameran sama juga dapat diadakan di Kuala Lumpur bagi mengetengahkan keunikan masyarakat pribumi itu kepada orang ramai.

Sementara itu, Kawai berkata beliau memulakan penyelidikan awalnya mengenai Orang Asli di Malaysia pada 2009 dan mula tinggal dengan suku Bateq di Kuala Koh setahun kemudian untuk meneruskan penyelidikan terhadap suku itu.

“Tujuan utama projek ini ialah untuk mendedahkan kepada orang Jepun mengenai kehidupan seharian orang tempatan yang saya selidiki di Malaysia.

“Saya mahu mereka tahu kehidupan harian mereka di hutan, mengumpul buah-buahan dan sumber asli, berpindah dari satu tempat ke satu tempat dan pada masa sama mendapat upah dalam bentuk tunai dan menggunakan telefon pintar.

“Fotografi ialah satu medium yang menarik untuk orang awam dan saya bertuah kerana mengenali Dome yang foto ‘bidikannnya’ amat cantik.

“Pada pameran berkenaan, saya letakkan kod respons pantas jadi pengunjung boleh mengakses sumber maklumat itu secara dalam talian dan mempelajari mengenai suku kaum itu dengan lebih mendalam,” katanya.

- Bernama