Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

Presiden Indonesia: Bang Haji nyatakan sokongan buat Anies, Muhaimin

Menjelang pemilihan presiden Indonesia dan pilihan raya umum negara itu bulan hadapan, ‘raja dangdut' negara itu, Rhoma Irama, sekali lagi membuat kemunculan rasmi di pentas politik.

Kali ini penyanyi yang dikenali dengan gelaran Bang Haji itu tampil berkempen untuk pasangan Anies Baswedan dan Muhaimin Iskandar di JiExpo, Jakarta, semalam.

Anis, 54, yang juga bekas anggota kabinet Jokowi dan menjadi Gabenor Jakarta merupakan calon presiden manakala Muhaimin, 57, menganggotai kabinet Susilo Bambang Yudhoyono.

Portal berita kompas.com melaporkan, Rhoma Irama menzahirkan sokongan terbukanya di akhir acara jelajah kempen "Amin" - jenama gabungan nama Anies dan Muhaimin.

"Bismillahirrahmanirrahim, saya Rhoma Irama, rakyat Indonesia biasa, yang ingin melihat Indonesia adil dan makmur untuk semua, dengan ini menyatakan mendukung penuh perjuangan Amin," katanya yang terlibat dengan pelbagai parti politik sebagai penyokong atau calon pilihan raya sejak lebih tiga dekad lalu.

Dalam acara yang sama, pemenang sembilan piala Anugerah Musik Indonesia itu turut menuntut komitmen Anies sebagai calon presiden untuk memartabatkan masa hadapan industri seni Indonesia.

"Saya ingin bertanya, kalau nanti dilantik sebagai presiden dan wakil presiden, apa kiat (cadangan) anda untuk kemakmuran seniman filem dan muzik?

"Di dunia, misalnya di Korea, kita mengenali K-Pop, drakor (drama korea) kerana pemerintahnya peduli dengan seniman,” katanya yang pernah dilantik sebagai wakil golongan artis di Majlis Perwakilan Rakyat Indonesia bagi penggal 1992-1997.

Hadapi dua pasangan lain

Pernyataan sokongan tersebut disambut baik oleh Anies sebagai pengiktirafan terhadap janji-janji perubahan yang akan dibawa.

"Ini artis bukan sembarang artis, tapi ini legenda yang bukan hanya di dalam negeri tapi juga internasional. Insya-Allah pada 14 Febr jadi hari kemenangan Indonesia," kata Anies.

Anies turut menegaskan sebarang cadangan berkaitan perkembangan industri seni Indonesia adalah selari dengan hasrat pentadbirannya kelak.

Katanya kerajaan Indonesia harus melakukan pelaburan besar-besaran dalam bidang kebudayaan, yang di dalamnya turut ada ada unsur kesenian.

“Kami turut mengikuti perkembangan industri di Korea… Melalui investasi (pelaburan), para pekerja seni mendapatkan peluang luas untuk berekspresi,” jelasnya.

Selain mengangkat genre dangdut religi atau irama dangdut dengan lirik ketuhanan, karya Rhoma Irama bersama Soneta Band turut sarat dengan pesan-pesan kritik sosial.

Kali ini, sebagai bentuk sokongan terhadap pasangan Anies-Muhaimin, penghibur berusia 78 tahun yang mengekalkan gaya seakan ikon rock and roll Elvis Presley itu turut melancarkan dua lagu baru, Perubahan dan juga Pemilu (Pemilihan Umum).

Joko Widodo dan anaknya, Gibran

Untuk rekod, menjelang pemilihan presiden Indonesia pada 2014, nama Rhoma Irama muncul sebagai salah seorang bakal calon presiden dari Partai Kebangkitan Bangsa (PKB) yang sehingga hari ini kekal dipimpin oleh Muhaimin sebagai ketua umum.

Rhoma Irama kemudian mengalihkan sokongannya kepada pasangan Prabowo Subianto-Sandiaga Uno selepas Muhaimin membawa PKB menyokong pasangan Joko Widodo-Jusuf Kalla.

Pasangan Anies-Muhaimin akan berdepan cabaran daripada dua pasangan lain iaitu Prabowo-Gibran Rakabuming Raka, serta Ganjar Pranowo-Mahfud Md dalam pemilihan presiden 2024.

Indonesia sudah meminda perlembagaannya bagi mengehadkan tempoh seseorang menjawat jawatan presiden kepada dua penggal saja.