Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

Pengarah, penerbit Mentega Terbang didakwa di mahkamah

Pengarah dan penerbit filem kontroversi “Mentega Terbang” didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini.

Mohd Khairianwar Jailani dan Tan Meng Kheng didakwa atas pertuduhan melakukan perbuatan melukakan perasaan agama seseorang.

Kedua-dua mereka didakwa di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum setahun, denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Khairianwar (atas) didakwa melakukan kesalahan itu selaku pengarah dan penulis skrip filem itu pada 26 Feb tahun lalu.

Manakala Tan didakwa melakukan kesalahan itu atas kapasitinya sebagai penerbit filem kontroversi itu pada tarikh yang sama.

Kedua-dua mereka didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam 12.34 tengah hari di sebuah unit di Diamond Regency, Jalan Semarak Api 2, Kuala Lumpur.

Mereka dituduh dengan sengaja melukakan perasaan agama orang lain dengan melafazkan perkataan-perkataan dalam pendengaran orang itu dan meletakkan objek-objek dalam penglihatan orang itu dengan berperanan sebagai seorang pengarah dan penulis skrip serta penerbit filem berkenaan.

Kedua-dua mereka didakwa di mahkamah berasingan dengan Khairianwar didakwa di hadapan Majistret Noorelynna Hanim Abd Halim, manakala Tan didakwa du hadapan Majistret Aina Azahra Arifin.

Timbalan pendakwa raya Abdul Malik Ayob menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dengan syarat tambahan mengenakan perintah larang suara mengenai inti pati kes ini sehingga selesai.

DPP berkata perintah larangan itu perlu untuk perbicaraan adil di mahkamah kerana kedua-dua tertuduh didakwa bercakap kepada media beberapa kali mengenai kes itu sebelum ini.

Bagaimanapun, peguam mereka, N Surendran membantah perkara itu, dengan mengatakan kedua-dua mereka pertama kali didakwa di mahkamah dan berhak diikat jamin lebih rendah.

Peguam itu menegaskan perintah larangan adalah berlebihan untuk kes itu kerana kedua-dua tertuduh telah memberikan kerjasama yang mencukupi kepada pihak berkuasa semasa siasatan dan tidak berisiko melarikan diri.

Surendran berkata perintah larangan adalah luar biasa kerana tiada bukti di mahkamah bahawa kenyataan awam tertuduh boleh mengganggu perbicaraan yang adil.

Noorelynna membenarkan Khairianwar diikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin, manakala Aina membenarkan Tan diikat jamin sebanyak RM6,500 dengan seorang penjamin.

Kedua-dua majistret memerintahkan kedua-dua tertuduh tidak membuat sebarang kenyataan mengenai kes itu sementara menunggu kes mahkamah selesai, dan menetapkan 14 Mac untuk sebutan kedua-dua kes.

Noorelynna turut mengarahkan Khairianwar melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali.

Pada akhir prosiding, Surendran memaklumkan anak guamnya akan memfailkan permohonan di bawah Seksyen 30 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 untuk mencabar kesahihan Seksyen 298 Kanun Keseksaan.

Peguam itu berkata permohonan itu akan difailkan di Mahkamah Tinggi.