Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Yusuf Bahrin lega pengarah Korea tunai permintaan

Aktor Yusuf Bahrin meluahkan perasaan lega apabila pengarah filem berasal dari Korea Selatan amat menghormati keperluannya untuk menjaga batas aurat sepanjang penggambaran The Lord Musang King.

Menurut pelakon itu, Lee Moon Ho bersetuju menunaikan permintaannya untuk tidak menayang sebarang aurat dalam satu babak yang perlu dilakonkan sewaktu dipenjara.

“Pada awal, saya merayu dan minta budi bicara pada pelakon serta penerbit filem ini, Eddie Chow supaya minta pengarah tak paparkan bahagian badan yang bermula dari pusat hingga lutut.

“Alhamdulillah, pengarah hormati perkara sensitif dan bersetuju untuk fikirkan bagaimana dia boleh lancarkan adegan di bilik air penjara itu,” kata Yusuf mengenai filem sulungnya itu.

Tambah pemilik nama penuh Muhammad Yusuf Bahrin itu, isterinya Zizi Kirana turut meletakkan syarat agar dia tidak mendedahkan aurat sewaktu berlakon dalam mana-mana naskah.

Justeru, katanya dia sendiri sentiasa memilih untuk bersikap jujur dan memberitahu penyanyi Eh itu terlebih dulu sekiranya ada tuntutan kerjaya yang memerlukan dia melakonkan babak sebegitu.

“Saya cuba memahamkan isteri yang babak mandi dan kutip sabun jatuh di penjara itu tak sesuai jika dilakonkan dengan memakai baju.

“Kalau pakai baju, nanti lakonan jadi tak logik pula. Dan kemudian dia pesan jangan sampai ternampak perkara (aurat) tak sepatutnya.

“Namun sebelum ini saya biasanya mengelak lakonkan adegan ghairah dalam mana-mana drama kerana bimbang dengan penerimaan penonton atau menyusahkan produksi serta dikecam; pergi ke kelas agama tapi tunjuk pusat,” katanya.

Yusuf berkata demikian pada majlis pratonton filem berkenaan di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur kelmarin.

Selain Yusuf dan Eddie, The Lord Musang King turut dijayakan barisan pelakon seperti Fimie Don, Harissa Adlynn, Jay Iswazir, Azri Sabri dan dua pelakon Korea iaitu Kwak Dong Hyuk dan Kim Bo Yeon.

The Lord Musang King yang diterbitkan oleh Hundred Years Popcorn Production serta diedarkan oleh Metrowealth akan menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia bermula hari ini.

Ia berkisahkan Haikal watak dilakonkan Yusuf dipenjarakan atas jenayah yang tidak dibuat dan ketika dalam penahanan dia bertambah tertekan selepas mendapat khabar ayahnya membunuh diri.

Mengenai pemilihan pelakon, Yusuf akui dia terkejut apabila pengarah bersetuju untuk mengambilnya berlakon sedangkan wajahnya langsung tiada ala-ala Korea.

“Pengarah kata dia berikan peluang pada saya kerana tahu saya tak pernah ditawarkan untuk berlakon dalam mana-mana filem sebelum ini.

“Jadi dia beritahu pada saya; inilah masanya untuk menyerlah,” katanya.

Pun begitu, ujarnya, besar cabaran apabila berada di bawah arahan pengarah dari Korea kerana kekangan bahasa.

“Pengarah sampai demam-demam nak sampaikan apa yang diinginkan tapi kami tak faham kemahuannya malah penterjermah pula sampaikan maklumat salah,” katanya.