Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

PM utus takziah pada keluarga M Daud Kilau

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga bintang legenda, Datuk M Daud Kilau yang meninggal dunia di Hospital Teluk Intan, Perak hari ini.

“Mendoakan Allahyarham diampuni rohnya dan diberi tempat yang terbaik di sisi-Nya.

“Semoga Allah SWT kurniakan kesabaran tingkat tinggi kepada keluarganya.

“Terima kasih kerana pernah menghiburkan masyarakat di Malaysia dan menjadi antara permata tanah air,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Perdana Menteri kini dalam rangka lawatan kerja lima hari ke Jepun sejak 15 Dis lepas antara lain bagi menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Jepun.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam hantaran di Facebook menyifatkan pemergian penyanyi legenda itu adalah suatu yang mengejutkan dan tiada galang ganti.

Ahmad Zahid berkata Allahyarham yang merupakan anak jati Bagan Datuk, Perak itu mempunyai karya seni yang bukan sahaja menjadi kebanggaan masyarakat di daerah itu, tetapi juga di seluruh negara.

“Malaysia kehilangan seorang lagi permata seni tanah air, Allahyarham Datuk M Daud Kilau yang cukup berbakat dan berjiwa besar.

“Takziah buat seluruh ahli keluarga Allahyarham dan semoga tabah menghadapi ujian ini.

“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para solihin,” katanya.

Terkenal dengan jolokan Raja Gelek Malaysia dan pelantun lagu Cek Mek Molek, M Daud Kilau, 85, atau nama sebenarnya Mohd Daud Kilau disahkan meninggal dunia di Hospital Teluk Intan, Perak kira-kira 4.40 petang hari ini oleh cucunya Hasnor Ikram melalui laman sosial Instagram.

- Bernama