Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Ibnor Riza meninggal dunia

Penyanyi popular era 1980-an, Ibnor Riza meninggal dunia di Hospital Canselor Tunku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM), di Kuala Lumpur pada jam 3.30 petang tadi.

Berita dukacita itu dikongsi rakan artis, penyanyi Salwa Abdul Rahman melalui Instagram miliknya hari ini.

“17.12.23. Sahabatku sudah tiada. Semoga arwah tenang dan damai di sana dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman,” tulisnya.

Semalam penyanyi Rahsia Ukiran Duka itu dilaporkan kritikal dan masih ditidurkan selepas menjalani pembedahan mengeluarkan air dalam kepalanya pada 2 Disember lalu.

Allahyarham disahkan menghidap kanser limfoma tahap empat pada Mac lalu.

Pada 10 November lalu, penyanyi itu turut menjalani kimoterapi R-ICE di hospital sama.

Ibnor turut mengalami demam berpanjangan selepas menjalani rawatan tersebut.

Sejak disahkan sakit, dia membelanjakan kira-kira RM80,000 bagi menampung kos rawatan dengan menggunakan kesemua wang simpanan serta menjual tiga buah kereta miliknya.

Penyanyi yang juga terkenal melalui lagu Mimpi Tak Sudah itu juga difahamkan sudah melakukan kemoterapi sebanyak sembilan kali.