Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

ULASAN | Sepatutnya kita banyak mendengar 'suara' Kit

ULASAN SENI | Dunia hari ini adalah dunia yang penuh dengan manusia yang banyak bercakap tetapi kurang mendengar. Walau ada kala fenomena itu nampak seakan baik, namun hakikatnya ia adalah amat menyedihkan.

Dalam era media sosial yang meluas hari ini, memang ada banyak isu yang boleh kita jadikan sebagai subjek perbualan dan tularkan.

Misalnya mengapa seseorang pempengaruh tergamak mencurangi isterinya yang cantik dan setia, 'penyondol' mana lagi yang akan kita londeh dan debatkan, atau barangkali bertengkar mengenai penyebab rumput Zeon Zoysia enggan tumbuh subur di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Ia ternyata lebih penting ketimbang membincangkan mengapa filem seperti Pagari Bulan, La Luna dan Magik yang hampir tak diketahui kewujudannya menjalani hari-hari tayangan yang sukar di pawagam.

Kita hari ini lebih cenderung untuk banyak bercakap berkenaan hal-hal remeh, sia-sia, memecah-belahkan, tak membina manusia dan tidak membangunkan negara.

Hal-hal seni serius semacam pergelutan filem Magik di pawagam memang jarang ada sesiapa yang berminat nak menularkannya. Tidak akan ada sesiapa yang mahu bercakap atau mengajak masyarakat untuk membincangkan inti pati filem berkualiti sebegitu.

Apatah lagi mendiskusikan masalah dan merumuskan isu-isu filem tempatan yang sentiasa berhadapan dengan kesukaran pemasaran dan tayangan. Kita selalu berjaya gagal mendapatkan penyelesaian bagi memanfaatkan komuniti dan industri perfileman yang enggan dilakukan Finas.

Mungkin terlalu sederhana

Segala apa yang berlaku itu tidak ubah seperti nasib kelip-kelip dan habitat semula jadi di Kampung Kuantan di Kuala Selangor yang dibawakan filem Magik.

Ada sesuatu yang istimewa tentang filem arahan dan tulisan Yasu Tanaka itu. Dia ialah orang yang sama pernah menghasilkan filem Nota pada 2015.

Namun magisnya Magik tidak ramai yang mahu memperkatakan, manakala keajaibannya hampir langsung tidak mahu didengarkan.

Sesuatu filem adalah satu kehidupan unik yang memperlihatkan bukan sahaja keindahan gunung dan lembah yang subur, bahkan kegetiran serta ketakutan berada di puncak gunung indah.

Ia adalah perasaan yang tidak semua daripada kita dapat rasa dan mengerti.

Magik akan membawa kita ke dunia yang satu lagi, iaitu sebuah dunia yang tidak ramai manusia mahu mendengar dan memperkatakan, apatah lagi berusaha untuk memahaminya.

Boleh jadi Magik tampil sebagai sebuah filem yang terlalu sederhana. Akan tetapi perlu diperakui bahawa Magik adalah filem bermutu yang menjanjikan sesuatu yang besar lagi bermakna, terutamanya di kala dunia sedang tenat dan perlahan-lahan menuju kemusnahan.

Magik mengajak kita untuk mendengar dan memahami dunia aneh Kit, iaitu keterasingan seorang anak istimewa dalam hidup pasangan Haris dan Fiza. Dia bukan sahaja bisu dan pekak malah sukar difahami.

Struktural Magik menjadi kukuh dan menarik kerana pembentukannya didasari oleh unsur-unsur intrinsik yang dibangunkan melalui karakter Kit sendiri.

Nah, kerana itulah Kit memiliki suatu bakat luar biasa yang tidak akan tercapai oleh akal kita.

Dunia senyap dan sunyi Kit sebetulnya mulai lelah akibat sering dipandang dengan cara yang salah. Oleh kerana dia berasa kurang didengari, maka Kit mula mencari haluan sendiri.

Bagi ibunya, Fiza, ia tentulah adalah suatu pemberontakan yang perlu ditangani dengan lembut, perlahan-lahan dan diatasi dengan pendidikan serta persekolahan.

Kit didorong oleh nalurinya sendiri, yakni suatu naratif dari sisi gelap yang mula mengerti tentang kehilangan dan dia mahu menciptanya kembali.

Dunia penuh indah

Sisi gelap yang samar itu kemudiannya menemukan Kit dengan Khai yang dia percaya adalah kembarnya yang hilang kerana ajal.

Memang terlalu biasa orang dewasa berbuat dosa apabila menyangka anak kecil tidak punyai keupayaan untuk memahamkan soal takdir. Semua itu berlaku apabila kita enggan mendengar suara hati mereka kerana terlalu percaya mereka hanyalah anak kecil yang tidak tahu apa-apa.

Jadilah kita manusia dewasa yang hanya banyak bercakap tetapi terlalu kurang mahu mendengar.

Kit yang berasa sunyi dan terasing akhirnya memilih untuk hidup dalam dunianya sendiri. Bukannya kerana Kit pekak atau bisu, tapi kerana dia mula berasa tidak cukup didengari.

Shakespeare pernah berkata, fungsi utama bahasa dalam sesebuah karya adalah untuk menyampaikan kebijakan, mengungkapkan kebenaran dan menonjolkan pelbagai sifat artistik.

Bahasa yang dimaksudkan dalam filem Magik ialah bahasa isyarat.

Ia dipaparkan dengan bersungguh-sungguh dan sangat berkuasa. Dunia sunyi dan senyap Kit berjaya menjadi wadah yang penuh keindahan dalam menolak cerita yang membina karektor.

Bahasa isyarat dalam Magik membina suatu aktiviti watak yang dapat menggerakkan banyak kegiatan sosial watak-watak disekitarnya.

Bahasa isyarat dalam Magik tidak akan hanya dilihat sebagai alat komunikasi seperti yang ibu Kit sibuk-sibukkan. Malah apa yang lebih besar ialah keupayannya membongkar banyak rahsia silam dan rahsia alam dalam kehidupan.

Jelas sekali melalui Magik ada sejenis kekuasaan pada bahasa filemnya. Yakni realiti kehidupan yang sering enggan kita dengarkan. Kerana kita lebih gemar banyak bercakap daripada cuba memahami manusia.


HARIS HAUZAH ialah seorang pengembara yang sering berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Kuala Kubu.

Tulisan ini tidak semestinya menceeminkan pendirian Malaysiakini.