Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

Suami galakkan Nabila Razali masuk kelas vokal

Penyanyi Nabila Razali bersyukur apabila dikurniakan jodoh yang sering memberi galakan terutama untuk dia sentiasa memperbaiki kelemahan diri dalam bidang seni tarik suara.

Nabila berkata suaminya, Nik Iruwan Nik Izani sering menasihatkan agar dia tidak jemu menimba ilmu nyanyian dengan melatih vokalnya agar menjadi lebih baik.

“Suami selalu cakap kalau nak jadi penyanyi yang bagus saya kenalah perbaiki diri.

“Katanya saya wajar masuk seberapa banyak kelas (vokal) kerana yang lebih penting adalah bekerja keras untuk mendapatkan hasil dikehendaki.

“Daripada situ, saya yakin suami adalah seorang yang sangat menyokong perkembangan karier malah kami juga amat serasi apabila menguruskan sesuatu,” katanya.

Disebabkan saling menyokong, Nabila, 31, mengakui dia amat menyenangi sikap dipamerkan Nik Iruwan.

Kata Nabila, kini usahawan yang juga bekas pelumba Formula itu turut menjadi tempat dia meluahkan perasaan terutama membabitkan soal turun naik kerjaya seninya.

“Kalau dulu keseorangan tiada tempat nak mengadu, sekarang balik rumah dah boleh lega sebab ada dia untuk saya berkongsi masalah, apatah lagi apabila terima kecaman dan sebagainya,” ujarnya.

Nabila dan Nik Iruwan berkahwin dalam majlis diadakan pada 18 Nov lalu.

Nabila berkongsi perkara itu ketika ditemui di majlis pelancaran single terbaru berjudul Hanya Kamu dan kolaborasi tudung jenama Nada di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur semalam.

Sebelum ini, nama Nabila sering menuai perhatian apabila kredibilitinya sebagai penyanyi dipertikaikan ramai.

Dia antaranya pernah dikecam kerana gagal melontarkan nada tinggi sewaktu menyanyi secara langsung pada sebuah majlis tahun lalu.

Mengulas lanjut, penyanyi Selagi Ku Ada itu berkata, dia enggan memperlahankan rentak karier walaupun sudah bergelar isteri kepada seorang usahawan.

Nabila menjelaskan, dia sentiasa berpegang teguh kepada kata-kata ibunya agar belajar berdikari dan tidak mengharapkan sumber kewangan suami semata-mata.

“Saya tak ada pengalaman banyak soal rumah tangga, baru saja berkahwin dua minggu.

“Sebagai usahawan juga baru nak berjinak-jinak manakala sebagai anak seni pun masih banyak perlu dipelajari.

“Apa saya selalu praktikkan selama ini adalah pastikan boleh berdiri atas kaki sendiri dan jangan harapkan hasil usaha orang lain. Ttu pesan mak yang saya pegang sejak dulu,” katanya lagi.

Ujar Nabila, paling menggembirakannya sebelum ini adalah apabila dia berpeluang mengecapi kejayaan sendiri dengan membeli sebuah rumah bernilai jutaan ringgit selepas 10 tahun bekerja keras.

“Cukup puas hati semasa beli rumah dulu kerana ia adalah ganjaran hasil penat lelah dan ketahanan saya untuk kekal dalam industri seni.

“Jadi, setiap orang ada impian masing-masing. Bagi saya pula adalah selesa untuk berdikari sendiri,” katanya.