Membina jambatan antara pelukis, penyair
Siti Zainon Ismail, Ismail Zain, Syed Ahmad Jamal, Abdul Ghafar Ibrahim (AGI) serta Latiff Mohidin adalah antara seniman yang fokus dalam menghasilkan karya catan dan juga puisi.
Terbaru seniman A Samad Said yang terkenal sebagai penulis novel serta puisi itu juga telah terjun ke dalam dunia catan. Malah dia pernah mengadakan beberapa pameran lukisan termasuk secara solo.
Mereka yang disebut tadi boleh dikatakan sebagai datang dari suatu zaman menyaksikan pelukis yang menulis adalah sesuatu yang lumrah. Ketika itu seperti tiada pemisah di antara kedua-dua bidang tersebut.
Ia bahkan saling membantu dan saling memerlukan.
Hasil karya yang mereka hasilkan bergerak beriringan dan seniman dari kedua-dua bidang tersebut juga kelihatan agak rapat.
Tidak ada sebarang cangung apabila mereka saling meraikan acara-acara yang diadakan baik acara bacaan puisi atau pun pameran lukisan.
Namun setelah beberapa lama, perlahan-lahan dua bidang yang sangat menarik itu seakan-akan meleraikan diri antara satu sama lain. Majlis puisi tidak lagi dihadiri oleh pelukis, manakala pameran lukisan hanya dilawati oleh peminat seni catan saja.
Pelukis mungkin tidak semuanya ingin beraksi di pentas puisi, melakukan ‘lukisan aksi’ sambil mengiringi penyair misalnya.
Namun di pameran lukisan, penyair sebenarnya boleh dijemput untuk mendeklamasikan satu dua puisi. Namun ia tidak berlaku sejak lama dulu.
Dikerah menghasilkan karya
Kedua-dua kelompok terbabit tidak lagi bergerak seiringan sepertimana pernah dinikmati oleh kumpulan awal pelukis dan penulis di negara kita.
Menurut Fareez Karim, seorang penulis dan juga editor majalah Senikini, (majalah bulanan terbitan Balai Seni Negara), hal itu terjadi antaranya kerana kini sudah ada ramai pelukis dan juga penulis.
Ia tentu berbeza dengan zaman Anak Alam, misalnya.
Menurut Fareez lagi penulis dan pelukis yang kian bertambah bilangannya tentu saja akan mengutamakan kumpulan masing-masing. Mereka kemudian mengadakan acara untuk meraikan kumpulan sendiri.
Bertolak dari kegusaran tersebut, HOM Art Trance mengadakan pameran yang menggabungkan kerja dari dua kumpulan seniman yang disebut di atas.
Pameran itu diberi nama Garis Puisi. Menurut pengurus galeri tersebut, Bayu Utomo Radjikin, ia merupakan siri kedua pameran seumpana itu diadakan.
Pameran Melukis Puisi yang diadakan sebelum ini memfokuskan kepada seniman tanah air menghasilkan karya berdasarkan puisi-puisi yang ditulis oleh penyair terkenal, Pyanhabib.
Untuk Garis Puisi, pelukis dan penyair lebih terlibat secara total dalam proses menghasilkan karya. Setiap pelukis digabungkan dengan seorang penyair dan mereka dikerah untuk menghasilkan karya.
Pertama, pelukis akan menggambarkan puisi yang dihasilkan dan kemudian penyair pula harus menulis berdasarkan catan yang dihasilkan pelukis.
Ada pameran saban minggu
Sepuluh orang pelukis dan 10 penyair terlibat di dalam pameran tersebut. Mereka ialah Zaim Durul Aman, Fadli Mokhtar, Haslin Ismail, Sudin Lapo, Khairuddin Zainuddin, Ajim Juxta, Faizal Suhif, Jack Malik, Karim Mohd Affendi Salleh serta Petak Daud.
Menghubungkan dua kumpulan seniman untuk menghasilkan sesuatu karya seperti yang dilakukan Garis Puisi mungkin boleh menjadi satu daripada antara banyak jambatan yang menghubungkan pelukis dan penyair.
Kerja-kerja seperti itu selayaknya diperbanyakkan lagi.
Semasa artikel ini ditulis sebuah pameran yang diberi judul Colours For Gaza oleh Galeri Puteh juga memberi ruang kepada penyair untuk mengambil bahagian.
Sajak-sajak dan puisi yang rata-rata bercerita mengenai kezaliman di Palestin turut dipamerkan bersama dengan karya-karya lukisan. Malah semasa acara perasmiannya, penyair dan seniman seni lakon turut membuat persembahan.
Galeri Puteh dan juga Galeri HOM memang selayaknya diberi pujian kerana usaha mereka menggabungkan banyak aliran seni dalam satu tempat.
Usaha sebegitu diharapkan dapat merapatkan jurang di antara cabang-cabang seni di negara kita.
Di Malaya ini, seniman catan biasanya dilihat sedikit terkeluar dari kegiatan seni arus perdana. Sama ada ia disengajakan atau tidak oleh puak tersebut tidaklah dapat dipastikan.
Namun apabila disebut sebagai seniman yang diingat orang adalah pelakon dan juga penyanyi. Malah persatuan yang mewakili pelakon dan penyanyi juga digelar sebagai Persatuan Seniman.
Puisi yang dilukis tentu saja jauh bezanya dengan lukisan yang ditulis. Terdapat beberapa artikel yang telah ditulis mengenai kedua-dua pameran tersebut.
Garis Puisi mendapat tempat yang sedikit ‘istimewa’ apabila artikel yang ditulis oleh Suyuthi Yusuf disiarkan di portal Dewan Sastera. Sudah agak lama juga sebenarnya cerita dan berita mengenai seni catan tidak dimuatkan dalam makalah sastera.
Terdapat juga lebih daripada dua artikel yang ditulis mengenai pameran Garis Puisi dan ini tentu saja sesuatu yang memberangsangkan.
Dalam keadaan sekarang, pameran lukisan diadakan saban minggu. Kadangkala terdapat lebih 10 pameran diadakan pada satu bulan.
Kebanyakan pameran itu akan segera dilupakan kerana tiada sebarang hebahan atau pun perbincangan mengenainya yang dirakam dengan baik dalam bentuk penulisan.
Ini adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku. Hebahan - jika ada - masih terhad kepada kelompok tertentu sahaja.
Antara sebab mengapa kurangnya perbincangan yang jujur terhadap seni catan misalnya adalah kerana kurangnya penulis yang mahu tampil ke depan.
Malah dalam kalangan penulis sendiri terdapat kelompongan membincangkan karya penulisan sebagai jalan meningkatkan mutu bidang masing-masing.
Mungkin sekarang adalah masa yang terbaik untuk kita semua mengambil serius hal-hal membincangkan hasil seni yang kita keluarkan saban hari.
Semua harus setuju bahawa apa saja yang diperkatakan mengenai sesebuah karya adalah untuk kebaikan yang lebih besar dan kita semua harus menerimanya dengan hati yang lebih lagi besar.
Sebagai permulaan, kami ingin mencadangkan agar semua pameran dan juga judul karya sama ada puisi atau catan harus menggunakan bahasa Melayu.
‘Persahabatan’ yang baik antara penulisan dan dunia catan juga memungkinkan apa saja yang berlaku dapat dirakam dan boleh dijadikan bahan rujuk pada masa depan.
Pameran Garis Puisi dan Colours For Gaza sedang berlangsung di kedua-dua galeri yang disebut.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai