Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

MB: S'gor mahu sosok teladan seperti Latiff Mohidin

Menteri Besar Amirudin Shaari memuji tokoh pelukis dan sasterawan ternama tanah air Abdul Latiff Mohidin sebagai teladan ketika menyampaikan ucapan belanjawan 2024 negeri itu.

"Negeri Selangor mahukan sosok begini menjadi contoh kepada rakyatnya, berjaya sama ada di dalam negeri dan di luar negeri namun berakarkan watan, nusa dan bangsa.

"Sosok yang berkeyakinan tinggi bersaing sama ada di dalam mahupun luar negara dan tetap setia dengan jati diri.

"Perpaduan mestilah juga berteraskan dengan cita-cita sebegini bukanlah berbaurkan sentimen dan kebencian," katanya pada sidang DUN Selangor di Shah Alam hari ini.

Amirudin ketika berucap turut memetik Manifesto Generasi Anak Alam mengenai cita-cita perpaduan, yang antaranya dipelopori oleh Abdul Latif pada tahun 1974:

"Tidak ada perbatasan keturunan,

warna kulit,

kepercayaan,

usia,

jantina dan ukuran rambut

bagi generasi anak alam."

"Karyanya menjadi rujukan di muzium serta galeri dan peminatnya menghiasi rumah mereka dengan karya beliau.

"Pada tahun 2018, muzium terkenal di Paris, Pompidou telah mengadakan pameran khusus Pago-Pago karya Latiff Mohidin.

"Ia merupakan suatu pengiktirafan buat dunia seni negara ini," kata menteri besar lagi.

Siri Pago-Pago yang dihasilkan Latiff antara tahun 1960-1969 diiktiraf sebagai karya ikonik seni visual negara.

Dalam sastera, Latiff, berusia 85 tahun pernah memenangi Anugerah SEA Write Award dua kali (1984 dan 1986) dan Anugerah Sastera Malaysia dari 1972 hingga 1976.

Latiff anak Minang kelahiran Lenggeng, Negeri Sembilan juga seorang penterjemah yang fasih dalam tiga bahasa - Melayu, Inggeris dan Jerman.