Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Elak penerbit tempatan rugi, rombak Skim Wajib Tayang - Afdlin

Pelakon dan pengarah, Afdlin Shauki mencadangkan pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) untuk merombak semula Skim Wajib Tayang supaya ia memberi kelebihan waktu tayangan kepada filem tempatan untuk dijual.

Menurut Afdlin, dengan menstruktur semula Skim Wajib Tayang, tindakan itu dipercayai dapat melindungi penerbit daripada menanggung kerugian gara-gara penarikan balik tayangan filem bagi memberi laluan kepada filem blockbuster khususnya dari Hollywood.

“Kita nak elak pempamer bersikap berat sebelah atau favouritism iaitu mereka nak jual filem yang bawa untung saja buat mereka. Nanti panggung akan tayang filem-filem yang sama saja.

“Skim Wajib Tayang kena dirombak agar filem-filem tempatan dapat lebih perlindungan dan diberikan lebih tempoh untuk tayangan mengikut budi bicara pempamer,” katanya.

Afdlin diminta mengulas berkaitan filem Pagari Bulan yang ketika ini penerbitnya, terpaksa berlapang dada susulan penarikan dan pembatalan tayangan kerana gagal menarik jumlah penonton yang ramai selepas tiga hari naskhah itu ditayangkan.

Afdlin berkata demikian pada majlis pelancaran filem Harimau Malaya: The Untold Journey di sebuah hotel di Petaling Jaya semalam.

Isu itu turut mencetuskan rasa tidak puas hati pengarah Michael Ang yang turut berlakon membawa watak cameo dalam Pagari Bulan.

Dia mempertikaikan keputusan dan tindakan beberapa buah pawagam kerana mengehadkan jumlah tontonan untuk filem berkenaan yang ditayangkan sejak 5 Oktober lalu sedangkan tempoh Skim Wajib Tayang masih berbaki lebih dari seminggu.

Untuk rekod, di bawah peraturan Skim Wajib Tayang, penayangan sesuatu filem boleh ditukar dari dewan gambar terbesar kepada dewan lebih kecil jika bilangan penonton kurang daripada tiga puluh peratus daripada jumlah keseluruhan tempat duduk selepas empat hari pertama tayangan berturut-turut.

Selain itu, bilangan penonton adalah tidak kurang daripada lima belas peratus daripada jumlah bilangan tempat duduk dalam dewan wayang gambar itu selepas tiga hari pertama tayangan berturut-turut.

Sekiranya bilangan penonton kurang daripada 15 peratus, pempamer bolehlah atas budi bicara untuk menarik balik penayangan filem yang diluluskan.

Pada masa sama, Afdlin menggesa pihak pempamer untuk bertindak telus serta tidak menganiaya pembikin filem.

Mungkin tak telus

Katanya, ketika ini masih tiada mekanisme digunapakai untuk merekod jumlah sebenar tontonan dan pempamer juga dikhuatiri boleh memberhentikan tayangan filem dengan sewenang-wenangnya.

Tambahnya, sekiranya diwujudkan mekanisme tersebut, data berkenaan haruslah boleh diakes secara langsung oleh Finas.

“Ada pempamer mungkin tak telus, mereka boleh ubah jumlah tontonan dalam laporan prestasi kutipan sesebuah filem dan itu menyebabkan filem tersebut ditarik balik tayangannya.

“Filem itu kemudian digantikan dengan karya lain yang mungkin bawa keuntungan lebih kepada mereka. Kita tak ada ketelusan dari sudut itu.

“Teknologi dah canggih, tapi laporan masih bersifat manual. Ini adalah masalah yang sudah lama wujud,” katanya.