Pekin Ibrahim belasah 'penunggang agama' intai pelakon wanita
Berang dengan tindakan melampau seorang kru produksi Cerana Biduk Bu Merah, pengarah dan pelakon Pekin Ibrahim mengakui terpaksa membelasah lelaki terbabit kerana perbuatannya mengintai pelakon tambahan filem itu.
Kata Pekin, kejadian menimpa Sara Daewoo berlaku di sebuah inap desa di Perak sewaktu penggambaran filem seram itu lima tahun lalu.
“Insiden itu terjadi sewaktu kami menjalani penggambaran di Kuala Kangsar. Sebenarnya, kru dan pelakon ditempatkan di dua inap desa yang berbeza.
“Ketika itu, saya dan kawan dalam perjalanan ke set penggambaran, manakala Sara berada di inap desa wanita.
“Sara mengadu dan minta bantuan kami kerana ada seorang kru mengintai dan merakam dirinya menggunakan telefon bimbit lalu kami bergegas ke tempat itu,” katanya.
Lebih menghangatkan keadaan, kata Pekin, 41, kru terbabit cuba menyelamatkan diri dengan berpura-pura mengajaknya solat berjemaah.
Pelakon Bunohan itu mengakui semakin tidak dapat mengawal perasaannya apabila lelaki terbabit mula memberikan alasan tidak munasabah selepas diminta menunjukkan telefon bimbitnya.
“Paling buat saya geram adalah apabila kami tiba di inap desa perempuan, krew itu terus ajak saya solat berjemaah. Dia siap bentangkan sejadah lagi.
“Apabila saya minta keluarkan telefon miliknya, kru itu bagi pelbagai alasan serta cuba memadamkan bukti.
“Kemudian dia kata mahu tumpang solat di tempat tinggal pelakon wanita berkenaan sedangkan ada rumah dikhaskan untuk kru dan pelakon lelaki.
“Saya terus belasah dia sebelum hubungi pengarah dan serahkan hal itu kepada pihak berkuasa untuk tindakan,” katanya selepas tayangan perdana Cerana Biduk Bu Merah yang berlangsung di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur malam tadi.
Filem terbitan Goldhill Pictures yang menjalani penggambaran pada 2018 itu akhirnya bakal menemui penonton pada 12 Oktober ini.
Selain Pekin dan Sara, filem arahan Haizul Anafer Ali itu turut dibintangi barisan pelakon seperti Fasha Sandha, Wan Hanafi Su, Badrul Muhayat dan Pyan Kepoh.
Menurut Pekin, sepanjang terlibat dalam dunia perfileman sejak 2002, itu adalah kali pertama dia terpaksa menangani isu gangguan seksual.
“Meskipun Cerana Biduk Bu Merah adalah filem seram, saya rasa kejadian ini lebih seram berbanding cerita yang kami lakonkan.
“Saya kesal kerana perkara sebegini boleh terjadi. Dah lah lakukan perkara tak bermoral, sempat lagi dia nak tunggang agama,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai