Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Sufi Rashid satukan Konsert Galau dengan Judika, NOAH, Taufik Batisah

Konsert Galau yang bakal berlangsung 9 dan 16 Disember depan bakal menyatukan sepuluh artis ternama dari tiga negara serantau iaitu Singapura, Malaysia dan Indonesia.

Penyanyi dan Pengarah Urusan SAH Entertainment menyifatkan penganjuran konsert berkenaan bagaikan satu malam berkonsep healing buat penonton.

Lebih istimewa apabila konsert yang mengambil tempat di Singapore Expo itu direncanakan bersama sebuah unit komiti yang menyaksikan pemilihan barisan artis diundi oleh orang awam.

“Pemilihan artis-artis yang akan terlibat dalam konsert itu nanti bukan dibuat oleh pihak SAH Entertainment sahaja. Tetapi kami ada unit komiti yang digelar SAHabat untuk terlibat sama menguruskan pemilihan artis yang turut melibatkan undian orang awam.

“Boleh dikatakan, konsert ini adalah yang pertama kali seumpamanya diadakan di Singapura dan yang pertama di Asia yang menampilkan barisan sepuluh artis original atau kumpulan popular yang asal.

“SAH Entertainment memang komited mahu memastikan semua barisan asal artis ini ada untuk menjayakan konsert ini untuk menghiburkan peminat-peminat menerusi seleksi lagu-lagu galau masing-masing,” katanya pada satu kenyataan.

Antara artis yang terlibat dari Indonesia ialah Judika, kumpulan Noah, Setia Band, ST12, Cakra Khan, D'Masiv dan Kangen Band.

Selain Sufi, turut mewakili Singapura ialah Taufik Batisah manakala dari Malaysia pula Imsoniacks.

Masih baru di S’pura

Bagaimanapun, kata Sufi, kehadiran kumpulan Noah untuk Konsert Galau kali ini khusus sebagai tribute kepada kumpulan Peterpan.

“Ini bermakna, vokalis Noah, Ariel bakal membawakan lagu-lagu hits daripada kumpulan Peterpan bagi menghiburkan peminat yang akan hadir ke konsert berkenaan,” katanya.

Selain itu, jelas Sufi, penganjuran konsert dengan konsep dua malam merupakan yang pertama kali dilakukan di negara tersebut dan ia merupakan antara keunikan yang ingin ditampilkan oleh SAH Entertainment buat warga Singapura serta negara serantau.

“Konsert dengan konsep penganjuran selama beberapa hari, paling minimum dua hari, sudah biasa dilakukan di Indonesia mahupun di Malaysia. Tapi jika di Singapura, konsep seperti ini masih dianggap baru.

“Jadi, saya hadir dengan inisiatif ini untuk mendidik warga Singapura dengan memperkenalkan konsep konsert seperti ini supaya mereka dapat turut sama berhibur sambil menyaksikan artis kesayangan menyanyikan lagu-lagu galau kegemaran mereka dalam sebuah festival yang meriah.

“Kiranya, tak perlulah lagi mereka terbang ke negara jiran semata-mata untuk menonton persembahan artis kesayangan mereka. Ini kerana Konsert Galau Singapura juga ada,” katanya.