Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Saman fitnah: Siti Nordiana terjejas dek siaran IG - saksi

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu penyanyi dan pelakon Siti Nordiana Alias dikecam dan terjejas gara-gara siaran langsung Instagram yang memburukkan penyanyi dan pelakon terbabit.

Saksi kedua yang juga pengurus kepada Siti Nordiana, Mohammad Al Anas Osman memberi keterangan dalam perbicaraan kes saman yang difailkan Siti Nordiana terhadap lima individu termasuk selebriti Lan Solo dan Syura Badron.

Mohammad Al Anas berkata Siti Nordiana antaranya terkesan apabila kontrak iklan komersial dibatalkan serta dua lagi kontrak sebagai duta produk tidak disambung.

Ketika pemeriksaan balas oleh peguam Azlan Abdul Razak yang mewakili defendan pertama, kedua dan ketiga, Mohammad Al Anas mengakui surat pembatalan kontrak diterima selepas Siti Nordiana memfailkan saman terhadap lima defendan (gambar, bawah).

“Surat pembatalan kontrak bertarikh November 2020 diterima selepas ikatan dokumen diserahkan pada hari saman,” katanya.

Mohammad Al Anas berkata, ejen pencari bakat ada bertanyakan situasi Siti Nordiana terhadap siaran langsung Instagram selepas nama selebriti itu diburukkan oleh lima defendan berkenaan.

“Kesan paling utama nama baik plaintif dalam kalangan masyarakat terjejas teruk kerana siaran langsung Instagram melalui rakaman YouTube mencecah ratusan ribu penonton hingga ke hari ini.

“Kesan buruk jangka panjang pula membabitkan kontrak komersial yang sedang berkuat kuasa kerana pengusaha komersial ini secara umumnya meletakkan syarat am bahawa personaliti tajaan mereka hendaklah seorang yang tidak mempunyai isu kontroversi dan sentiasa berkelakuan baik,” katanya dipetik BH Online.

Pengurus itu yang menjadi saksi kepada plaintif sejak 2010 berkata, dia menerima banyak mesej merujuk kepada siaran langsung Instagram yang memburukkan nama penyanyi itu.

“Semua mesej yang diterima itu ialah pada awal pagi 21 Julai 2021 melalui laman sosial Facebook.

“Mesej daripada peminat plaintif terlalu banyak. Tapi intipati mesej itu merujuk kepada siaran Instagram Live yang memburukkan nama plaintif secara siaran langsung,” katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim John Lee Kien How @ Mohd Johan bersambung 30 Oktober ini.

Siti Nordiana, 39, memfailkan saman fitnah menerusi Tetuan Abang Azlan & Associates pada 30 Julai 2021.

Penyanyi lagu Cukup Derita Itu menamakan Lan Solo, atau nama sebenarnya Mohd Razlan Mohamed Yusof, 36; isterinya Nur Sheila Hassim, 36; Zuraidah Badron, 35, atau lebih dikenali Syura, Pegawai Perhubungan Awam Syarikat Rakaman FMC Music, Sam Musyadzafar Samin, 43, serta jurusolek artis, Razidah Ahmad Senusi, 42, sebagai defendan pertama hingga kelima.