Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Tuntutan RM10,000 keluarga Hamid Gurkha dengan Astro bakal selesai

Isu tuntutan keluarga Allahyarham Hamid Gurkha terhadap Astro bakal berakhir tidak lama lagi.

Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Saluran Astro Ria, Warna dan Prima, Norzeha Mohd Salleh hari ini.

“Astro akan melunaskan pembayaran Anugerah Sepanjang Zaman MeleTOP di Anugerah MeleTOP Era (AME) 2021 yang dianugerahkan kepada arwah Hamid Gurkha,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, keluarga Hamid mengeluh kerana sehingga kini mereka masih menanti wang berjumlah RM10,000 selepas Allahyarham menerima Anugerah Sepanjang Zaman MeleTOP AME 2021.

Hamid sepatutnya mendapat wang berjumlah RM10,000 namun tidak kesampaian apabila pelawak legenda itu meninggal dunia pada 14 Jun tahun lalu.

Apabila perkara itu dirujuk kepada Astro, syarikat penyiaran terbabit meminta ahli keluarga menyediakan pelbagai dokumen sebagai bukti tuntutan.

Terdahulu, anak Hamid, Nor Azian berkata wang berkenaan dicadangkan untuk diserahkan sepenuhnya kepada ibu mereka sebagai tanda kasih sayang.

Pada masa sama, Norzeha memaklumkan pihaknya kesal atas segala kesulitan yang berlaku.

Norzeha berkata ketika ini pihaknya sedang berikhtiar untuk mencari jalan penyelesaian yang dirasakan terbaik.

“Pihak produksi sedang berurusan dengan keluarga arwah untuk menyelesaikan isu ini secepat yang mungkin,” katanya lagi.