Pasukan media sosial Beyoncé bingung komen netizen M'sia
Pengguna Twitter Malaysia membuatkan pasukan media sosial Beyoncé Knowles kebingungan.
Ini selepas sebilangan besar pengguna meninggalkan komen politik - kebanyakannya berkaitan dengan PAS - pada bebenang hantaranTwitter yang mempromosikan konsert Jelajah Dunia Renaissance Beyoncé.
Bebenang komen itu bermula dengan catatan pada 20 Sept memaparkan gambar Beyoncé yang memakai pakaian kulit ketat berwarna hijau dengan latar belakang hijau sambil memegang sfera putih yang besar.
Beberapa netizen Malaysia mendapati imej itu melucukan kerana ia seakan logo PAS.
"Apakah maksud komen di bawah hantaran ini," soal akaun Twitter rasmi konsert Beyoncé itu @RenaissanceWT hari ini.
@RenaissanceWT merujuk kepada balasan kepada bebenang pada 20 Sept yang mengandungi komen disertai gambar ikonik penyokong dan pemimpin PAS.
Ini termasuk gambar penyokong PAS berarak dengan pedang replika serta gambar replika kereta kebal dan kapal perang semasa kempen pilihan raya.
Beberapa netizen menyindir menyatakan bahawa konsert jelajah dunia baru Beyoncé itu menunjukkan "gelombang hijau" kini menjadi fenomena global.
Ramai pengguna Twitter juga menggesa PAS untuk merekrut penyanyi terkenal dunia itu sebagai ahli parti itu.
Sebahagian besar hantaran Twitter ini merujuk kepada PAS yang terkenal dengan sikap keras membantah konsert terhadap artis asing yang membuat persembahan di Malaysia.
Baru-baru ini, beberapa pemimpin PAS menentang rancangan Coldplay membuat persembahan di Kuala Lumpur pada November.
Konsert Jelajah Dunia Renaissance ialah persembahan berterusan Beyoncé yang bermula pada bulan Mei melibatkan Eropah dan Amerika Utara.
Jelajah ini adalah untuk menyokong album studio ketujuhnya Renaissance.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai