Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Nabila Huda cari Erma ketika 'terkapai-kapai'

Nabila Huda meluahkan hasrat untuk menuntut ilmu dengan Erma Fatima bagi menjayakan Nyai Sunarti dalam pementasan teater muzikal Lantai T. Pinkie, selepas diberi amaran keras oleh pengarah dan pelakon itu agar tidak memalukan diri ketika membawa watak ikonik berkenaan.

Nabila atau mesra disapa Abil itu berkata, dia masih "terkapai-kapai" untuk menjiwai Nyai Sunarti walaupun selepas menjalani latihan hampir sebulan.

“Saya hubungi Erma dan memaklumkan yang saya akan bawa watak Nyai Sunarti.

“Saya turut meluahkan kerisauan kerana watak itu adalah yang paling berat sepanjang saya bergelar pelakon. Saya perlu menyanyi, menari serta bermonolog.

“Erma kata, 'kau pelakon hebat dan pernah menang trofi, jadi jangan cuba nak malukan diri',” kongsinya pada sidang media Muzikal Lantai T. Pinkie di Menara Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur semalam.

Pelakon Rahsia itu berkata, Erma yang pernah membawakan watak sama kira-kira dua dekad lalu memberi amaran tersebut sebagai perangsang agar dia mampu memberi persembahan terbaik.

Menurutnya, dia berharap Erma yang juga terkenal melalui Diva Popular itu dapat berkongsi pengalaman dalam menjayakan pementasan berkenaan.

“Saya ada beritahu Erma yang saya mahu bertemu dengannya. Dia minta saya hafal dialog terlebih dahulu.

“Mungkin seminggu sebelum pementasan bermula saya akan pergi bertemu dengannya. Keyakinan itu ada cuma saya kena betul-betul menjiwai watak Nyai Sunarti ini.

“Satu tugas yang sangat berat tapi saya perlu buat yang terbaik,” katanya lagi.

Lantai T. Pinkie yang merupakan karya Sasterawan Negara (SN) A Samad Said bakal dipentaskan di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selama tiga hari bermula 6 Oktober ini.

Teater muzikal itu mendapat sentuhan Rosminah Mohd Tahir sebagai pengarah dan diterbitkan CTRA Production.

Selain Nabila, Lantai T. Pinkie juga menampilkan barisan pelakon seperti Zera Hariz, Faysal Saad, Ahmad Tarmimi Siregar, Jalaluddin Hassan, Linda Nanuwil.

Mengulas lanjut, Nabila berkata dia juga terbawa-bawa watak Nyai Sunarti dalam kehidupan harian dan hal itu merisaukan suaminya, Mohd Izwan Johar.

“Bayangkan, saya kena bermonolog dalam tempoh yang agak lama. Menari dan menyanyi.

“Saya ada menyertai kelas Muay Thai untuk tambah stamina. Saya kena banyak berlatih menyanyi sambil menari.

“Sampai terbawa-bawa dalam kehidupan seharian hingga suami jadi risau. Ini baru dikatakan buku bertemu ruas,” katanya.