Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Hattan 'simpati' pada Aina Abdul

Penyanyi senior, Hattan berpendapat Aina Abdul boleh pergi lebih jauh kalau menghasilkan beberapa album penuh berbanding cenderung mengeluarkan single.

Kata Hattan, seseorang penyanyi yang memiliki album mempunyai kelebihan khususnya apabila mengadakan persembahan konsert kerana mereka boleh menyanyikan banyak lagu sendiri.

“Artis baru semakin berlambak ketika ini. Bukan kita tak kenal. Namun, kasihan sebab mereka hanya boleh nyanyi beberapa lagu sendiri.

“Selebihnya menyanyikan lagu orang lain apabila mengadakan persembahan.

“Saya menyaksikan konsert Aina di Istana Budaya baru-baru ini, tapi dia menyanyi satu atau dua lagu (beberapa) saja miliknya. Lepas itu dah tak ada lagu sendiri.

“Aina antara penyanyi yang saya suka vokalnya. Suaranya bagus, dia juga pemenang Anugerah Juara Lagu, tapi sayang lagu pula tak cukup. Jadi, kena ada pakej suara dan album,” ujarnya.

Menurut Hattan, 58, melalui pakej suara dan album, seorang penghibur boleh membuatkan diri mereka kekal relevan malah diingati buat tempoh yang lama.

“Jadi, suka atau tak suka, seseorang artis itu harus menghasilkan album penuh.

“Sekarang nak hasilkan lagu peruntukan dalam kira-kira RM30,000 hingga RM40,000 misalnya, jadi gunakan duit itu untuk buat album penuh,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran 1st Asia Pacific Folklore Festival di sebuah hotel di Petaling Jaya baru-baru ini.

Tahun ini, Majlis Bandaraya Petaling Jaya dengan kerjasama International Council of Organizations of Folklore Festival and Folk Arts (CIOFF) Malaysia diberikan kepercayaan mewakili Malaysia untuk menjadi tuan rumah acara tersebut.

1st Asia Pacific Folklore Festival itu akan bermula pada 21 hingga 26 September di Pusat Bandar Seksyen 52, Petaling Jaya.

Ditanya berhubung penampilan Aina dengan rekaan fesyen pelik, Hattan menganggap itu mungkin cara dia menyerlahkan keunikan dirinya.

Tambah Hattan lagi, ia tidak menjadi masalah selagi seseorang itu berkemampuan untuk melabur ke atas minat sendiri.

“Itu hak dia (pakai pakaian mengarut). Bagi saya, ini sudah jadi trend untuk seseorang itu menonjolkan diri.

“Lagi pun, dia ada duit dan tak menyusahkan kita,” kata penyanyi Biso Bonar itu.

Aina dilaporkan sanggup membelanjakan puluhan ribu ringgit untuk tiga persalinan termasuk sut gergasi, pada sebuah acara hiburan yang berlangsung baru-baru ini.